1. Apakah maksud hipoglisemia?
Tahap glukosa darah menandakan jumlah gula yang terkandung dalam darah. Apabila tahap gula terlalu rendah, kondisi ini dikenali sebagai hipoglisemia. Tahap gula dalam darah yang terlalu rendah boleh menyebabkan simptom serius yang perlu dirawat secepat mungkin.
Penghidap diabetes jenis 1 perlu pastikan kadar gula dalam darah tidak terlalu tinggi atau rendah.
2. Bagaimana untuk mengenalinya?
Tanda dan simptom gula dalam darah rendah berbeza-beza bergantung kepada individu dan berapa cepatkah tahapnya menurun.
Antara tanda amaran gula dalam darah rendah ialah:
- Berpeluh
- Sangat lapar
- Kadar dengupan jantung yang laju
- Sukar untuk bercakap dengan jelas
- Mudah marah
- Pening
- Keletihan
- Penglihatan kabur
- Menangis tanpa sebab
- Menggigil
Kadar gula dalam darah rendah boleh menjadi sangat serius dan pesakit boleh pengsan atau mengalami serangan sawan.
Ingat: Simptom yang dialami kadangkala bukan disebabkan oleh kadar gula dalam darah rendah. Oleh sebab itu, pastikan anda uji dahulu tahap gula dalam darah. JANGAN SESEKALI MENEKA!
Sekiranya anda mengalami kadar gula dalam darah rendah pada waktu malam, anda mungkin akan menangis, mengalami mimpi ngeri atau berpeluh-peluh sehingga alas katil atau baju basah dengan peluh. Selain itu, anda mungkin akan bangun tidur dalam keadaan mengantuk atau sakit kepala.
3. Apakah yang boleh menyebabkan hipoglisemia?
Kadar gula dalam darah boleh menjadi rendah jika:
- Anda tidak makan atau makan terlalu sedikit.
- Bersenam dalam tempoh masa yang panjang tanpa makan terlebih dahulu.
- Mengambil terlalu banyak insulin.
- Masa pengambilan insulin tidak selaras dengan waktu makan, snek atau senaman.
- Pada waktu malam, kondisi ini dikenali sebagai hipoglisemia nokturnal.
- Selepas beberapa jam bersenam, ia dikenali sebagai hipoglisemia selepas senaman.
- Selepas pengambilan alkohol, kadar gula dalam darah akan menjadi tidak stabil. Ia boleh menyebabkan gula darah jatuh secara tiba-tiba. Oleh sebab itu, pesakit perlu faham risiko pengambilan minuman keras dan penyalahgunaan dadah.
Selain itu, ada beberapa perkara yang boleh meningkatkan risiko kadar gula dalam darah rendah.
Antaranya:
- Menyuntik insulin pada kawasan otot dan bukannya pada lapisan lemak bawah kulit.
- Menyuntik insulin pada kawasan badan yang kerap digunakan dalam sukan tertentu (contohnya menyuntik insulin pada kawasan kaki sebelum latihan bola sepak).
- Semua ini boleh meningkatkan risiko untuk mengalami kadar gula dalam darah rendah.
4. Memeriksa kadar gula rendah
Satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada anda mempunyai kadar gula rendah adalah dengan mengujinya. Walau bagaimanapun, sekiranya anda tidak boleh memeriksa kadar gula secepat mungkin, pastikan anda dapatkan rawatan segera untuk mengelakkan simptom daripada menjadi semakin teruk.
Sesetengah penghidap diabetes tidak dapat mengesan tanda-tanda kadar gula dalam darah rendah. Bagi mereka, pemeriksaan berkala dan pencegahan lebih penting (sila lihat langkah-langkah pencegahan di bawah). Jika anda mempunyai masalah untuk menangani masalah kadar gula dalam darah rendah, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin.
5. Bagaimana untuk merawat gula darah rendah?
Ambil tindakan segera sekiranya gula darah anda di bawah 4.0 mmol/l (72mg/dL).
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu anda lakukan:
- Ambil 1 sudu besar sirap atau minum setengah cawan minuman manis (contohnya jus buah atau minuman berkarbonat (bukan diet cola). Rehat selama 15 minit dan kemudian periksa gula darah.
- Jika tahap gula dalam darah anda lebih tinggi daripada 4.0 mmol\/L (72mg\/dL), uji semula 20-30 minit kemudian untuk memastikan julat kadar gula dalam darah (>4.0 mmol\/L) dikekalkan.
- Jika tahap gula dalam darah anda masih di bawah 4.0 mmol/l (72mg/dL), ambil sekali lagi 1 sudu besar sirap atau minum setengah cawan minuman manis (jus buah-buahan atau minuman berkarbonat (bukan diet), kemudian berehat selama 15 minit dan periksa tahap gula dalam darah anda.
Jika kondisi ini berlaku sebelum waktu makan (sebelum pengambilan insulin), ia harus dirawat terlebih dahulu apabila bacaan gula darah >4.0 mmol/L (>72mg/dL). Suntikan insulin harus diambil seperti biasa. JANGAN ABAIKAN PENGAMBILAN INSULIN, terutamanya jika pesakit mengalami hipoglisemia awal pagi.
Sekiranya pesakit diserang sawan atau pengsan, jangan paksa mereka makan kerana ia boleh menyebabkan pesakit tercekik atau teraspirasi (makanan termasuk ke dalam saluran pernafasan dan menyebabkan pneumonia). Pergi ke hospital secepat mungkin kerana ini merupakan satu kecemasan.
6. Ingat!
Bagi pesakit diabetes jenis 1, kenali tanda tahap gula dalam darah rendah kerana ia merupakan kondisi yang serius. Oleh sebab itu, penghidap kencing manis perlu tahu simptom kondisi ini serta apa yang boleh dilakukan untuk mengelakkannya daripada berlaku.
HelloType1 content is based on published, internationally recognised guidelines and then reviewed by local experts to ensure it fits local context. The translation is based on simplified English language to ensure it conveys the safest and clearest possible message in regional languages. Basic insulin and blood glucose testing access is still an issue in the South-East Asia region and our chief aim is to address this. HelloType1 content is not intended to replace the advice of individual healthcare professionals but as a collaborative tool to help them improve the outcomes of disadvantaged people with Type 1 Diabetes in the region.