1. Apakah maksud diabetes jenis 1?
Badan manusia berfungsi dengan cara berikut:
Apabila kita makan, makanan dan gula yang dicerna akan diserap ke dalam darah. Organ pankreas akan menghasilkan hormon insulin yang bertanggungjawab untuk membawa glukosa ke dalam sel untuk digunakan sebagai bahan bakar yang menghasilkan tenaga.
Sekiranya seseorang mempunyai masalah diabetes jenis 1, organ pankreas tidak mampu menghasillkan insulin yang mencukupi. Tanpa insulin, glukosa tidak mampu diserap ke dalam sel dan berkumpul di dalam darah. Gula/glukosa yang berlebihan di dalam darah akan menyebabkan seseorang itu sakit sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal.
2. Apakah tanda-tanda kencing manis jenis 1?
Ada beberapa tanda-tanda kencing manis:
- Kerap kencing kerana badan akan cuba menyingkirkan gula berlebihan melalui ginjal (buah pinggang).
- Kerap minum air untuk menggantikan air yang hilang.
- Banyak makan kerana badan sentiasa terasa lapar. Perkara ini berlaku disebabkan tenaga yang tidak dapat diperoleh daripada makanan (glukosa), disebabkan tiadanya insulin.
- Hilang berat badan. Pada waktu ini, badan mula menggunakan lemak dan otot sebagai sumber tenaga kerana tidak boleh menghasilkan gula/glukosa seperti biasa.
- Sentiasa rasa penat kerana badan tidak dapat menggunakan gula untuk tenaga.
Tanda-tanda kencing manis lain seperti:
- Nafas berbau buah (berasid).
- Penglihatan kabur.
- Sakit perut.
- Loya atau kerap muntah.
- Pengsan.
- Sesak nafas.
3. Apakah rawatan untuk kencing manis jenis 1?
Hanya ada satu rawatan untuk kondisi ini iaitu suntikan insulin. Suntikan insulin ini akan menggantikan insulin yang sudah tidak dapat dihasilkan oleh badan. Untuk mengawal tahap gula dalam darah, pastikan anda lakukan pemeriksaan gula dalam darah, rancang pemakanan dan bersenam.
4. Apakah punca diabetes jenis 1?
Punca sebenar kencing manis jenis 1 sebenarnya tidak diketahui. Namun, ada beberapa faktor risiko telah dikenal pasti. Risiko untuk mendapat penyakit diabetes jenis 1 lebih tinggi sekiranya terdapat faktor keturunan/genetik.
Apa yang anda perlu tahu ialah penyakit ini bukanlah salah sesiapa dan tiada cara untuk mengelakkannya.
5. Bagaimanakah kencing manis jenis 1 bakal mempengaruhi kehidupan saya?
Anda masih orang yang sama. Dengan rawatan, anda boleh menikmati gaya hidup seperti orang lain. Anda masih boleh melakukan semua aktiviti yang biasa dilakukan sebelum ini. Ini termasuk:
- Bersekolah.
- Bersukan.
- Bekerja.
- Berkahwin dan mempunyai anak pada masa hadapan.
6. Apa yang saya boleh lakukan untuk menangani diabetes jenis 1
Buat masa ini, masih belum ada sebarang penawar untuk kencing manis jenis 1. Walau bagaimanapun, kemajuan dalam bidang perubatan telah banyak membawa perubahan, terutamanya untuk mengurus kondisi ini dengan lebih baik. Oleh sebab itu, penghidap diabetes jenis 1 boleh hidup lebih lama dalam keadaan sihat dan selesa asalkan mereka dapat memantau dan menguruskan kondisi yang dialami dengan baik. Ada beberapa tip yang boleh diamalkan oleh penghidap diabetes jenis 1:
– Banyakkan membaca mengenai kondisi masing-masing. Segala ilmu pengetahuan ini dapat membantu anda menguruskan penyakit dengan lebih baik. Ambil tahu mengenai makanan apa yang perlu dielakkan, ubat yang perlu diambil dan simptom komplikasi yang perlu dititikberatkan.
– Ikut saranan doktor. Nasihat doktor sangat penting untuk menguruskan kencing manis dengan lebih baik. Ikut pesanan doktor, ambil ubat seperti yang dijaduakan dan ikut arahan pakar.
– Ambil makanan yang sihat. Diet yang seimbang dapat membantu individu diabetes jenis 1 menguruskan kondisi dengan lebih baik. Pemakanan yang sihat dan seimbang dapat membantu mengekalkan kadar gula dalam darah dan membekalkan badan dengan segala nutrisi dan mineral yang penting. Kesihatan yang baik sangat penting untuk mengawal diabetes.
– Kekal aktif. Selain pemakanan seimbang, senaman yang berkala dan kehidupan aktif sangat penting untuk mengawal diabetes jenis 1. Senaman dapat melindungi badan daripada pelbagai komplikasi diabetes seperti tekanan darah tinggi, masalah jantung dan sebagainya. Untuk penghidap diabetes, pastikan anda sentiasa minum air yang mencukupi dan mengambil snek, terutama jika sering melakukan senaman berat. Amalan ini dapat membantu mengekalkan kadar gula dalam darah dan mengelakkannya daripada menjadi terlalu rendah.
HelloType1 content is not intended to replace the advice of individual healthcare professionals but as a collaborative tool to help them improve the outcomes of disadvantaged people with Type 1 Diabetes in the region.