Maklumat T1D

ikon

Profesional Penjagaan Kesihatan

Tentang kita

#HentikanStigmaDiabetes: Gunakan bahasa yang sesuai untuk penghidap Diabetes

Disunting: 17.03.2025

Johanah Co

HelloType1 Digital Learning and Development Manager, A4D

1. Merumitkan keadaan dan melabel serta menghakimi orang yang menghidap penyakit Diabetes

Setiap hari yang berlalu boleh menjadi rumit bagi mereka yang menghidap Diabetes. Dan mungkin sukar bagi mereka yang tidak menghidapnya untuk memahami betapa rumit dan mencabarnya menguruskan keadaan kesihatan ini. Lebih-lebih lagi kerana terdapat banyak maklumat yang salah serta stigma penyakit Diabetes yang perlu dihadapi oleh mereka. Perkara penting dalam berhadapan dengan penghidap Diabetes adalah menggunakan bahasa inklusif, tidak menghakimi dan menggalakkan percakapan yang boleh membantu membina pemahaman, empati dan persekitaran bebas stigma. Apabila kita menggunakan label seperti "patuh" atau "tidak patuh", ini tidak membantu kerana ia akan membuatkan penghidap Diabetes berasa bersalah, takut dan malu.

Cara terbaik untuk berbuat perkara ini adalah memahami MENGAPA mereka melakukannya. Antaranya, anda mungkin perlu bercakap dengan mereka tentang apa yang mereka percaya, ketakutan, minat dan sebarang isu yang timbul semasa anda merancang untuk mendapatkan rawatan buat mereka. Dengan itu, penetapan matlamat boleh menjadi lebih realistik dan boleh dilaksanakan dengan mampan. Komunikasi dua hala memberikan hasil dan kesejahteraan yang lebih baik untuk penghidap Diabetes. Sebaik-baiknya, gunakan frasa seperti "mengurus" dan "selamat/tidak selamat" untuk memberi tumpuan kepada usaha individu dan mewujudkan konteks yang tidak bersifat menghakimi. Menggunakan kata sifat seperti "buruk," "kawal," dan "patuh" boleh membuatkan mereka rasa seperti anda menghakimi dan melemahkan semangat mereka. Memberitahu penghidap Diabetes sesuatu seperti, "kawalan Diabetes anda teruk, anda tidak mematuhi arahan" adalah tidak digalakkan. Sebaliknya, beritahu mereka "ini mungkin tidak selamat untuk kesihatan jangka panjang anda jika glukosa darah anda tidak diuruskan dengan baik."

2. Memahami stigma penyakit Diabetes

Apabila seseorang dihakimi, didiskriminasi, atau dilayan dengan teruk kerana menghidap Diabetes, ini dipanggil stigma Diabetes. Dalam sesetengah kes, ini disebabkan oleh maklumat yang salah tentang Diabetes. Jadi, salah faham dalam cara menangani Diabetes adalah dengan mendidik orang lain mengelakkan stigma Diabetes. Apabila seseorang menghidap penyakit Diabetes Jenis 1, sistem imun badan mereka akan menyerang sel kecil pankreas yang menghasilkan insulin. Jadi, ini bermaksud pankreas mereka tidak boleh menghasilkan sebarang insulin. Bagi penghidap Diabetes Jenis 2 pula, pankreas berhenti membuat insulin daripada yang sepatutnya, dan badan menjadi rintang terhadap insulin. Jenis lain pula adalah Diabetes Gestasi atau Diabetes semasa hamil. Ini berlaku apabila badan anda tidak menghasilkan insulin yang mencukupi semasa hamil. Terdapat juga Diabetes di Usia Muda atau Maturity-Onset Diabetes of the Young (MODY) iaitu sejenis Diabetes yang jarang berlaku, yang tidak sama dengan Diabetes Jenis 1 atau Jenis 2. Ia cenderung diwarisi dalam keluarga. Sementara itu, Diabetes Autoimun Terpendam Dewasa (LADA) pula adalah keadaan autoimun yang bermula pada masa dewasa dan tidak memerlukan insulin selama sekurang-kurangnya enam bulan selepas didiagnosis. Walau bagaimanapun, kebanyakan orang masih mempunyai kepercayaan yang salah dan stereotaip tentang penyakit Diabetes. Sebagai contoh, mereka sering salah anggap tentang pelbagai jenis Diabetes, atau berfikir bahawa seseorang itu harus dipersalahkan kerana menghidap Diabetes.

Stigma Diabetes ini boleh menyakiti emosi penghidap Diabetes dan menghalang mereka daripada bercakap tentang keadaan mereka. Ia juga boleh menyebabkan orang ramai menyembunyikan Diabetes mereka dan mungkin kurang mengambil berat dalam penjagaan Diabetes mereka. Cara kita bercakap tentang Diabetes mempunyai kesan yang besar terhadap perasaan dan pemikiran orang ramai tentang keadaan mereka juga. Sebagai orang yang bekerja dalam penjagaan kesihatan dan/atau sebagai penjaga, mewujudkan suasana yang menggalakkan pemahaman, positif dan pengurusan yang berkesan boleh membawa kepada penglibatan dan hasil yang lebih baik dalam kalangan penghidap Diabetes. Penghidap Diabetes akan berasa lebih baik tentang kesejahteraan dan kesihatan mental mereka apabila anda menghormati pemikiran, perasaan dan cabaran mereka.

3. Mendidik diri sendiri dan elakkan generalisasi penyakit Diabetes

Penting untuk setiap orang belajar tentang penyakit Diabetes supaya anda lebih memahami dan menyokong orang yang menghidapnya dengan lebih berkesan. Satu usaha untuk memahami atau cara menangani Diabetes adalah dengan mengetahui perkara yang dilalui oleh mereka setiap hari, termasuk pengambilan ubat-ubatan dan peranti yang mereka perlukan, serta masalah yang mungkin mereka hadapi. Seringkali orang salah faham mengenai Diabetes dan berfikir bahawa semua Diabetes adalah sama. Orang yang menghidap penyakit Diabetes akan mempunyai pengalaman yang berbeza, jadi adalah penting untuk tidak mengeneralisasi (menganggap semua Diabetes sama) dan mengetepikan pengalaman tersebut.

Daripada berkata, "Orang Diabetik tidak boleh makan gula," adalah lebih baik untuk anda berkata, "Penghidap Diabetes perlu menguruskan pengambilan karbohidrat mereka, tetapi mereka masih boleh menikmati hidangan secara sederhana." Dengan mengelakkan generalisasi dan memberi perhatian kepada faktor kemanusiaan, penghidap Diabetes boleh berasa lebih difahami, berkuasa dan dihargai.

4. Penggunaan Bahasa Orang-Pertama dengan Soalan Terbuka

Bahasa orang-pertama bermaksud memberi tumpuan kepada seseorang dan bukannya keadaan mereka. Jadi, berhati-hati apabila anda menyebut "pesakit Diabetes." Untuk lebih hormat, seelok-eloknya katakan "orang yang menghidap penyakit Diabetes." Orang lain mungkin tidak keberatan, tetapi ada yang mungkin akan terasa berbeza. Pendekatan ini menggalakkan idea bahawa penyakit seseorang tidak menentukan siapa mereka itu. Ini boleh membantu mengurangkan stigma Diabetes.

Cara terbaik untuk berkomunikasi dengan seseorang yang menghidap penyakit Diabetes adalah dengan bertanya soalan terbuka tentang perasaan mereka. Cuba tanya, "apakah perasaan anda hari ini? Terima kasih kerana datang. Apa yang berjaya anda lakukan kebelakangan ini?" bukannya bertanya, "Adakah anda mematuhi pelan ubat dan mengawal Diabetes anda dengan diet dan senaman?" Kaedah ini akan merangsang komunikasi terbuka dalam nada yang positif dan menggalakkan serta menyuntik kekuatan.

5. Hargai Usaha dan Kurangkan Nasihat Yang Tidak Diminta

Menjaga Diabetes memerlukan usaha dan perhatian yang berterusan. Orang yang tidak mempunyai Diabetes boleh menunjukkan sokongan dengan mengiktiraf perjuangan dan usaha harian yang dilalui oleh rakan atau keluarga mereka yang menghidap Diabetes. Anda benar-benar boleh membantu mereka berasa lebih baik dengan memberitahu mereka perkara seperti, "Saya kagum melihat kegigihan anda untuk mengendalikan Diabetes" atau "Saya tahu ia tidak mudah, tetapi anda melakukan kerja yang hebat."

Elakkan berkongsi tips kepada penghidap Diabetes terutama apabila mereka tidak memintanya. Ramai orang yang tidak menghidap Diabetes mungkin mempunyai maksud yang baik, tetapi kenyataan mereka itu boleh menyakitkan dan mengecewakan pesakit. Sebaliknya, berikan sokongan dan galakan anda. Jika mereka meminta bantuan, pastikan anda memberi mereka nasihat yang betul dan ingatkan mereka bahawa anda bukan seorang profesional perubatan.

Satu usaha atau cara menangani Diabetes bagi tujuan ini adalah dengan menyokong inisiatif, dasar dan undang-undang yang memastikan semua individu yang menghidap Diabetes dilayan secara adil. Contohnya, anda boleh menyatakan ikrar kepada www.enddiabetesstigma.org.

6. Bahasa Inklusif dan Berasaskan Kekuatan Memberi Perbezaan Besar Bagi Orang Yang Menghidap Penyakit Diabetes

Penjaga dan mereka yang menyokong orang tersayang mungkin dapat mengurangkan stigma Diabetes. Hal ini akan membuatkan hubungan lebih bermakna dengan orang yang menghidap Diabetes, dengan menggunakan bahasa berasaskan kekuatan, inklusif dan sokongan. Penghidap Diabetes tidak layak untuk dihakimi, dipersalahkan, atau dimalukan kerana menghidap Diabetes. Ia bukan salah mereka! Sebaliknya, kita boleh menjadikan masyarakat lebih menerima dan memahami dengan mempelajari tentang keadaan Diabetes mereka, tidak membuat andaian, bercakap dengan cara mengutamakan orang, dan mengiktiraf usaha serta kemajuan orang yang menghidap Diabetes. Pertukaran bahasa ini boleh membuat perubahan besar dalam kehidupan penghidap Diabetes dan membantu melahirkan masyarakat yang lebih menerima dan mengambil berat terhadap semua orang.

ikon Penafian: