
Maklumat T1D
Profesional Penjagaan Kesihatan
Tentang kita
Membimbing anak anda yang menghidap Diabetes Jenis 1 belajar berdikari sendiri
Disunting: 17.03.2025
Menjadi ibu bapa sudah sememangnya sukar, tetapi adalah lebih mencabar lagi jika anak anda menghidap Diabetes Jenis 1. Ini membuatkan keadaan menjadi lebih sukar dan tertekan. Ibu bapa, penjaga dan kanak-kanak yang menghidap Diabetes Jenis 1 perlu bekerjasama untuk menguruskan keadaan Diabetes Jenis 1 ini. Apabila anak-anak membesar dan belajar melakukan sesuatu sendiri, ibu bapa harus sentiasa ada di sisi untuk membantu dan melindungi mereka. Maknanya, ibu bapa perlu menunjukkan kepada kanak-kanak jalan, membantu mereka, dan mengajar mereka, di samping membenarkan mereka melakukan lebih banyak perkara sendiri apabila mereka sedang membesar. Ini juga dikenali sebagai kebebasan Diabetes atau anak belajar berdikari sendiri menguruskan Diabetes mereka. Bagi membolehkan proses ini berjalan dengan lebih lancar, adalah penting juga untuk ibu bapa bekerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan bagi menetapkan matlamat yang boleh dicapai. Artikel ini akan menunjukkan kepada ibu bapa cara untuk memudahkan anak mereka yang menghidap Diabetes Jenis 1 melakukan sesuatu pekerjaan sendiri.
Ambil kira umur dan peringkat pertumbuhan anak anda sambil perlahan-lahan memberi mereka lebih banyak tanggungjawab menguruskan Diabetes. Mulakan dengan tugasan kecil mengikut umur anak dan perlahan-lahan tambahkan lagi tanggungjawab seiring dengan peningkatan usia mereka. Pertama, anda mungkin perlu menyuruh mereka membawa kit pemantauan glukosa darah atau menyusun bekalan mereka. Apabila mereka sudah menguasai tugasan kecil itu, anda boleh membiarkan mereka memikirkan dos pengambilan insulin, dengan pemantauan pasukan penjagaan kesihatan mereka. Apabila anak semakin selesa, beritahu mereka untuk cuba belajar berdikari sendiri dengan memberikan suntikan insulin. Ini membantu mereka membina kebebasan Diabetes kerana mereka memperoleh lebih banyak pengalaman untuk menjaga diri mereka sendiri apabila meningkat dewasa kelak. Bagi membolehkan anak anda mendapat keyakinan, anda perlu mempercayai mereka untuk bekerjasama menyelesaikan masalah Diabetes. Ini adalah salah satu cara untuk mengajar kanak-kanak yang menghidap Diabetes berdikari sendiri.
Perkasakan kanak-kanak melalui permainan main peranan atau lakonan. Anak anda boleh berlakon sebagai pendidik Diabetes atau penyedia penjagaan kesihatan, sementara anda atau orang lain yang menjaga mereka boleh memainkan watak sebagai kanak-kanak yang menghidap Diabetes Jenis 1. Ini adalah cara terbaik untuk anak anda belajar, mendapatkan keyakinan, membina kebebasan Diabetes dan mengetahui lebih lanjut tentang cara menangani Diabetes Jenis 1. Anak anda mungkin boleh mengendalikan Diabetes Jenis 1 mereka sendiri dengan lebih baik jika mereka menggunakan imaginasi mereka. Satu lagi perkara kreatif yang boleh anda lakukan adalah membantu anak anda merekodkan bacaan glukosa darah mereka sendiri dalam buku log, jurnal atau buku skrap Diabetes mereka. Anak anda boleh menghias sendiri buku tersebut dengan menambah gambar dan menulis tentang perkara baik dan buruk yang berlaku kepada diri mereka setiap hari. Mereka juga boleh melihat perubahan tahap glukosa mereka dan memikirkan jalan untuk mengubah perkara tersebut keesokannya. Mampu meluahkan apa yang mereka mahu dan melihat perkembangan diri akan membuatkan anak anda berasa lebih baik tentang diri mereka sendiri.
Bantu anak anda berkawan dengan kanak-kanak atau remaja lain yang turut menghidap Diabetes Jenis 1. Caranya adalah dengan menyertai kumpulan sokongan dalam talian atau kejiranan anda. Bertemu dengan orang lain yang mengalami perkara yang sama boleh membantu kanak-kanak berasa kurang bersendirian dan lebih bermotivasi. Anda boleh mencari kumpulan sokongan ini melalui dalam talian. Anda juga boleh bertanya dan mendapatkan bantuan daripada pasukan penjagaan kesihatan anda. Dengan cara ini, anda dan anak anda boleh mendapat dan memberi sokongan emosi serta berkongsi pengalaman penting dengan orang yang memahami keadaan anda. Kem Diabetes ialah tempat yang bagus untuk bertemu orang baharu dan menjalin hubungan persahabatan yang mungkin berkekalan seumur hidup. Dalam suasana yang positif, mengendalikan Diabetes Jenis 1 sambil melakukan aktiviti yang menyeronokkan di kem Diabetes boleh meningkatkan keyakinan kanak-kanak dan memberi mereka kuasa untuk bertanggungjawab ke atas kesihatan mereka.
Memastikan kehidupan anak anda normal bermakna anda perlu bersikap tegas dan kadangkala terbuka untuk berubah. Tanya anak anda bagaimana untuk mereka selesa dan senang bercakap tentang Diabetes Jenis 1 serta kehidupan harian mereka dengan cara yang terbaik. Ibu bapa pada mulanya akan melakukan perkara seperti memberi suntikan insulin, memeriksa gula darah dan mengira karbohidrat. Namun dari semasa ke semasa, tanggungjawab ini boleh diberikan kepada anak sehingga mereka mampu belajar berdikari sendiri menguruskan Diabetes mereka. Berikan anak kebebasan, pada masa yang sama sentiasa ada di sisi mereka jika mereka memerlukan anda. Ini akan menggembirakan mereka untuk mengetahui bahawa seseorang sentiasa berada bersama mereka, melalui masa senang dan sukar. Akhir sekali, mengajar kanak-kanak yang menghidap Diabetes Jenis 1 cara menjaga keadaan mereka sendiri adalah proses yang memerlukan masa, kebaikan, kesabaran dan sokongan daripada ibu bapa. Namun begitu, memberi kebebasan kepada anak berdikari sendiri adalah cara terbaik untuk ibu bapa bantu anak-anak bukan sahaja dalam mengendalikan Diabetes mereka dengan baik, tetapi juga mempelajari kemahiran hidup yang penting. Matlamatnya adalah untuk membantu kanak-kanak yang menghidap Diabetes Jenis 1 menjalani kehidupan yang bahagia dan sihat supaya mereka boleh membesar menjadi individu yang bertanggungjawab dan berkebolehan.