Maklumat T1D

ikon

Profesional Penjagaan Kesihatan

Tentang kita

Menyokong penghidap Kencing Manis Jenis 1 & mengatasi stres

Disunting: 17.03.2025

Anne-Charlotte Ficheroulle

Pharmacist, Digital Innovation Manager, A4D

1. Belajar menerima sakit Kencing Manis Jenis 1 dalam hidup

Apabila seseorang disahkan menghidap sakit Kencing Manis, penjaga biasanya akan merasakan ianya adalah sesuatu yang traumatik dan perkara yang sukar dalam hidup. Ibu bapa juga akan sedar tentang perubahan sukar akibat diagnosis ini dari segi kualiti hidup, jangka hayat dan rutin harian anak mereka. Perlahan-lahan, mereka juga menyedari bahawa realiti baru ini memberi implikasi secara langsung kepada seluruh keluarga.

Pengurusan Diabetes bagi orang muda biasanya memerlukan perubahan dalam rutin, perhatian, pemakanan dan gaya hidup. Mungkin sukar untuk menerima kenyataan bahawa mereka terpaksa berhadapan dengan perkara ini sepanjang hayat. Oleh itu, adalah normal sekiranya untuk berasa sedih pada tahap ini.

Penjaga juga tidak dapat mengelak daripada rasa bersalah tentang keadaan penghidap diabetes. Mereka akan tertanya-tanya jika mereka boleh melakukan sesuatu untuk mencegahnya. Ada juga penjaga yang berasa tidak yakin, terutamanya dalam memberi ubat-ubatan ataupun membantu mereka mengamalkan pelan pemakanan tertentu. Selain itu, mereka juga mungkin akan berasa risau sekiranya mereka tidak dapat mengenal pasti simptom-simptom tertentu dan mendapatkan bantuan perubatan yang betul.

Semua perasaan di atas dirasai oleh semua penjaga kanak-kanak yang menghidap Diabetes Jenis 1. Ia merupakan perkara yang normal. Tetapi, jangan lupa, anda tidak bersendirian. Anda boleh mendapatkan sokongan dan bantuan daripada doktor, jururawat, kenalan dan keluarga.

2. Mengawal perasaan

Ibu bapa dan penjaga tidak dapat lari daripada bebanan emosi dan psikologi selepas anak atau ahli keluarga dalam jagaan menerima diagnosis sakit kencing manis. Jika anda mengalami masalah sama, ingatlah, anda tidak berseorangan. Kesukaran di sini adalah berganda kerana anda perlu mengatasi kekecewaan, kesedihan dan kebimbangan anda sendiri tetapi pada masa yang sama anda juga perlu membantu penghidap Diabetes di bawah jagaan anda mengatasi kebimbangan dan kesedihan mereka.

Langkah pertama untuk mengawal perasaan sendiri adalah dengan belajar lebih lanjut mengenai Diabetes Jenis 1. Program Hello Type 1 akan memberikan ibu bapa dan penjaga, maklumat penting yang diperlukan untuk memahami penyakit dan cara terbaik untuk menguruskannya. Tetapi anda juga boleh mendapatkan jawapan daripada pasukan penjagaan Diabetes yang menjaga anak atau tanggungan anda. Belajar tentang Diabetes Jenis 1 dan pengurusannya akan membantu anda lebih faham dan mampu mengawalnya. Ia juga membolehkan anda membantu dan menyokong penghidap Diabetes dengan lebih baik dan memahami bagaimana mereka boleh menguruskannya pada setiap hari. Selain itu, ini juga membantu mereka dalam menangani emosi.

Jangan lupa, anda juga boleh mendapatkan sokongan daripada ahli keluarga. Cuba bersikap lebih terbuka dan berbincang mengenai perasaan ini dengan ahli keluarga. Mereka dapat membantu meringankan beban anda dalam penjagaan individu yang menghidap Diabetes.

3. Apa yang boleh saya bantu?

Bagi menyokong anak atau penghidap sakit kencing manis, anda perlu mengenal pasti keadaan psikologi dan emosi mereka terlebih dahulu dan mempunyai keberanian sebagai ibu bapa untuk menanganinya.

Akui perasaan mereka dengan cara kerap bertanya tentang keadaan mereka. Penting untuk anda sebagai penjaga untuk bersifat ingin tahu dan cuba meneroka sebarang cabaran atau stres yang mungkin dialami penghidap Diabetes. Dengar apa yang mereka ingin katakan sebelum meluahkan perasaan anda.

Cari keseimbangan ketika berkomunikasi. Tunjukkan bahawa anda ambil berat dan ingin tahu tentang kesihatan mereka. Namun, pada masa yang sama, cuba berikan mereka kekuatan dan yakinkan mereka bahawa menghidap Diabetes Jenis 1 bukanlah bermaksud kehidupan mereka akan berakhir.

Dengar pandangan dan luahan kekecewaan mereka. Cuba jawab dan yakinkan mereka bahawa dengan rutin dan disiplin yang baik dalam kehidupan mereka mampu hidup normal dan ini akan membantu mereka lebih berjaya pada masa hadapan (kekuatan dan komitmen yang lebih baik untuk berjaya di sekolah dan kemudian di universiti & tempat kerja).

Bantu mereka berdikari. Mungkin sukar terutamanya pada peringkat awal untuk menahan diri daripada terlalu ‘menjaga’ anak atau ahli keluarga yang menghidap diabetes. Dengan sokongan dan galakan, mereka perlu belajar cara untuk bertanggungjawab dalam menguruskan masalah kesihatan yang dihidapi. Contohnya dari segi pelan pemakanan atau pengambilan ubat-ubatan. Ini juga membantu mereka untuk lebih yakin dan positif.

4. Penglibatan ahli keluarga terhadap penghidap sakit kencing manis

Apabila seseorang menghidap Diabetes, seluruh ahli keluarga akan turut terkesan. Jika anda mempunyai anak atau tanggungan lain yang tidak menghidap penyakit kronik, mereka mungkin akan rasa benci dengan perhatian yang diterima sang penghidap Diabetes. Jangan lupa, berikan perhatian kepada ahli keluarga lain untuk mengelakkan sebarang salah faham dalam kalangan ahli keluarga. Libatkan mereka dalam pengetahuan tentang Diabetes Jenis 1 dan ajak mereka turut sama membantu. Perkara ini seharusnya melibatkan seluruh ahli keluarga.

Komunikasi yang baik, sokongan dan peneguhan positif telah menunjukkan peningkatan dalam kawalan glukosa darah dan pengurusan Diabetes Jenis 1. Individu yang menghidap Diabetes Jenis 1 boleh menjalani kehidupan yang panjang, bahagia dan bererti seperti orang lain.

4. Ingat!

Diagnosis sakit kencing manis bukanlah perkara yang mudah untuk ditangani. Ini kerana Diabetes boleh dihidapi seumur hidup dan perlu diuruskan dengan baik. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang menghidap Diabetes khususnya, tekanan dalam penjagaan anak yang menghidap masalah kesihatan ini kadangkala boleh menjadi terlalu berat dan boleh menjejaskan kehidupan dan penjagaan anak mereka.

Justeru, ibu bapa dan penjaga tidak boleh mengabaikan kesihatan diri sendiri. Ambil langkah yang sepatutnya untuk mengawal serta mengatasi stres. Jika anda perlukan bantuan, tidak anda salahnya untuk meminta pertolongan. Jangan segan untuk meminta bantuan daripada ahli keluarga, rakan atau mengupah pembantu atau pengasuh untuk membantu menguruskan rumah. Jadi anda boleh menjaga anak anda dan menguruskan tekanan dengan lebih baik.

ikon Penafian: