
Maklumat T1D
Profesional Penjagaan Kesihatan
Tentang kita
Amalan Gaya Hidup Pengiraan Karbohidrat Makanan Boleh Menstabilkan Glukosa Darah
Disunting: 17.03.2025
Menangani Diabetes Jenis 1 memerlukan STRATEGI, dan pengiraan karbohidrat makanan adalah salah satu ALAT PINTAR yang kita perlukan!
Kepentingan pengiraan karbohidrat untuk Diabetes adalah dengan melihat berapa banyak karbohidrat dalam makanan yang telah kita ambil. Ia boleh memudahkan kita untuk menguruskan tahap glukosa darah seseorang dengan lebih baik.
Kita juga boleh membuat pilihan yang lebih baik apabila kita sedar berapa banyak karbohidrat yang telah kita makan.
Kaedah ini boleh membantu anda mengambil dos insulin yang betul, yang membawa kepada tahap glukosa darah yang lebih stabil.
Apabila kita mempunyai paras glukosa darah yang lebih stabil, kita akan berasa tubuh kita lebih baik.
"Karbohidrat, bersama-sama dengan protein dan lemak, adalah nutrien utama yang diperlukan oleh tubuh kita. Walaupun karbohidrat boleh menyebabkan glukosa darah kita meningkat, namun kita masih memerlukannya untuk berfungsi sebagai sumber tenaga badan kita."
Karbohidrat ialah gula, serat dan kanji yang terdapat dalam makanan seperti bijirin, buah-buahan, kekacang, sayur-sayuran dan produk tenusu. Makanan-makanan ini adalah sumber tenaga utama untuk sel, tisu dan organ tubuh kita.
Apabila seseorang makan makanan yang kaya dengan karbohidrat, sistem pencernaan kita memecahkan makanan ini kepada gula, yang masuk ke dalam darah kita. Jika kita makan makanan berkarbohidrat tinggi, glukosa darah kita boleh menjadi sangat tinggi. Pada ketika inilah pentingnya pengiraan karbohidrat makanan untuk penghidap diabetes.
Bagi mereka yang menghidap Diabetes Jenis 1, mengekalkan paras glukosa darah yang stabil boleh menjadi cabaran yang berterusan. Ini kerana pankreas badan kita tidak lagi dapat menghasilkan insulin.
Apabila kita menggunakan strategi pengiraan karbohidrat, kita akan lebih bebas untuk makan pelbagai jenis makanan. Ini kerana kita boleh membuat pilihan termaklum.
Pilihan termaklum ialah keupayaan untuk menikmati makanan sambil dapat mengetahui bagaimana makanan tertentu akan meningkatkan tahap glukosa darah kita.
Menggunakan strategi pengiraan karbohidrat makanan boleh menjadikan kehidupan penghidap Diabetes Jenis 1 lebih mudah. Selain itu, anda juga mempunyai pengetahuan dan kebebasan untuk makan serta melakukan apa yang anda mahu secara bersederhana.
Pengiraan karbohidrat makanan penting kerana ia memberikan fleksibiliti dalam menguruskan Diabetes Jenis 1.
Apabila anda menguasai pengiraan karbohidrat, anda tidak perlu lagi meninggalkan makanan kegemaran anda.
Anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan dan melaraskan dos insulin anda berdasarkan jumlah karbohidrat yang anda rancang untuk makan.
Pengiraan karbohidrat makanan juga boleh mengurangkan perubahan glukosa darah tinggi (dikenali sebagai hiperglisemia) dan glukosa darah rendah (dikenali sebagai hipoglisemia) yang mungkin kita hadapi.
Doktor, pakar diabetes, pakar diet dan profesional penjagaan kesihatan lain menyokong konsep pengiraan karbohidrat makanan ini kerana ia meningkatkan kualiti rawatan untuk penghidap Diabetes.
Apabila kita menerima penjagaan yang lebih baik untuk Diabetes, kita akan kurang berkemungkinan mendapat masalah atau komplikasi lebih awal. Semua perkara ini menyokong kepentingan pengiraan karbohidrat untuk Diabetes.
Penting untuk anda bercakap dengan pakar pemakanan, pakar diet atau pakar Diabetes kerana mereka boleh membimbing dan menasihati dengan betul tentang makanan kegemaran anda yang boleh dimakan.
Anda boleh menggunakan tangan anda untuk menganggar saiz atau jumlah makanan. Ini sangat membantu apabila anda makan di luar.
Sebagai contoh, apabila anda menggenggam tangan membentuk penumbuk, anda akan membuat ukuran yang kelihatan seperti cawan. Jika segenggam nasi putih yang anda ambil adalah kira-kira saiz penumbuk anda, berapa banyak karbohidrat makanan yang sedang anda ambil, dan berapa banyak insulin yang mungkin diperlukan?
Satu cawan nasi putih mempunyai kira-kira 30 gram karbohidrat, dan insulin yang diperlukan untuknya mungkin berbeza-beza. Jadi, adalah lebih baik untuk berunding dengan pasukan penjagaan kesihatan anda untuk mengetahui kepekaan insulin anda.
Mengetahui berapa banyak karbohidrat yang anda makan boleh membantu memutuskan berapa banyak unit insulin yang anda perlukan untuk suntikan. Ini adalah satu lagi situasi yang menunjukkan kepentingan pengiraan karbohidrat untuk Diabetes.
Satu lagi tips berguna adalah membaca label pemakanan di belakang pembungkusan makanan. Ini bagi memudahkan anda untuk mengira karbohidrat dalam makanan dengan lebih tepat.
Apabila saya mula tahu tentang pengiraan karbohidrat, sukar untuk saya memikirkan cara mengukur dan mengira karbohidrat dalam makanan yang berbeza.
Memandangkan saya tidak tahu kandungan karbohidrat yang tepat bagi setiap jenis makanan, jadi saya kekal mengambil makanan yang biasa saya makan supaya dapat mengetahui berapa banyak insulin yang perlu saya suntik.
Saya akan mencatat apa yang saya makan dengan diari makanan atau aplikasi. Mengira karbohidrat dalam makanan boleh memakan masa dan menyusahkan, terutamanya apabila saya dalam keadaan tergesa-gesa. Akan tetapi, ia berbaloi kerana saya boleh makan pelbagai jenis makanan tanpa menyebabkan paras glukosa darah saya terlalu tinggi atau terlalu rendah.
Walaupun saya makan jumlah makanan yang sama setiap hari, namun paras glukosa darah saya tidak selalunya sama. Ini kerana adanya faktor lain yang mempengaruhi glukosa darah seperti senaman, aktiviti harian, tekanan, kurang tidur dan sebagainya.
Saya akan tahu sama ada pengiraan makanan dan dos insulin saya betul, jika saya boleh mengekalkan paras glukosa darah saya antara 80 dan 180 mg/dl, atau 3.9 dan 10 mmol/L, dua jam selepas makan.
Pengiraan karbohidrat mungkin mengambil masa untuk dipelajari, tetapi semakin anda menggunakannya, semakin mudah untuk anda menguasainya.
Penghidap Diabetes Jenis 1 mungkin berasa sihat dari segi fizikal, mental dan emosi apabila tahap glukosa darah berada dalam julat yang baik.
Setiap Persatuan Diabetes di seluruh dunia mengesyorkan untuk mempunyai lebih daripada 70% masa dalam julat untuk mengurangkan risiko komplikasi mikrovaskular dan makrovaskular.
Penghidap Diabetes Jenis 1 boleh menjaga diri mereka dengan lebih baik dan tubuh berasa lebih baik jika mereka mengetahui lebih lanjut tentang pengiraan karbohidrat makanan. Sebab itulah pengiraan karbohidrat untuk Diabetes perlu dititikberatkan.
Apabila kita berasa sihat, kita lebih cenderung untuk menerima keadaan Diabetes Jenis 1 kita dan menjaga badan kita dengan baik.
Kami percaya setiap orang yang menguruskan Diabetes Jenis 1 mereka dengan baik melakukannya dengan cara istimewa mereka sendiri. Kami juga merasakan waktu pengambilan insulin, jenis insulin, aktiviti dan sebagainya, sama pentingnya dengan pengiraan karbohidrat.
Sila berbincang dengan pasukan penjagaan kesihatan anda tentang cara terbaik untuk merawat badan anda, kerana setiap individu menggunakan pelbagai jenis insulin dan mempunyai jenis badan dan tahap aktiviti yang berbeza.