
Maklumat T1D
Profesional Penjagaan Kesihatan
Tentang kita
Memahami Kencing Manis Jenis 1
Disunting: 17.03.2025
Kencing Manis Jenis 1 adalah sejenis penyakit yang mempengaruhi kebolehan tubuh anda menggunakan glukosa. Glukosa adalah gula dan sumber utama tenaga untuk tubuh anda. Tubuh anda memerlukan glukosa untuk terus berfungsi.
Badan manusia berfungsi dengan cara berikut:
Apabila kita makan, makanan dan gula yang dicerna akan diserap ke dalam darah. Organ pankreas akan menghasilkan hormon insulin yang bertanggungjawab untuk membawa glukosa ke dalam sel untuk digunakan sebagai bahan bakar yang menghasilkan tenaga.
Sekiranya seseorang mempunyai masalah Diabetes Jenis 1, organ pankreas tidak mampu menghasilkan insulin yang mencukupi. Tanpa insulin, glukosa tidak mampu diserap ke dalam sel dan berkumpul di dalam darah. Gula atau glukosa yang berlebihan di dalam darah akan menyebabkan seseorang itu sakit sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal.
Bagi penghidap diabetes, berikut adalah tanda-tanda Kencing Manis yang boleh mereka alami:
Kerap kencing kerana badan akan cuba menyingkirkan gula berlebihan melalui ginjal (buah pinggang).
Kerap minum air untuk menggantikan air yang hilang.
Banyak makan kerana badan sentiasa terasa lapar. Perkara ini berlaku disebabkan tenaga yang tidak dapat diperoleh daripada makanan (glukosa), disebabkan tiadanya insulin.
Hilang berat badan. Pada waktu ini, badan mula menggunakan lemak dan otot sebagai sumber tenaga kerana tidak boleh menghasilkan gula/glukosa seperti biasa.
Berasa penat kerana badan tidak dapat menggunakan gula untuk tenaga.
Tanda-tanda kencing manis lain seperti:
Nafas berbau buah (berasid)
Penglihatan kabur
Sakit perut
Loya atau muntah
Pengsan
Nafas laju dan berat
Hanya ada satu rawatan untuk penyakit ini iaitu suntikan insulin. Suntikan insulin ini akan menggantikan insulin yang sudah tidak dapat dihasilkan oleh badan. Pemeriksaan paras gula dalam darah, merancang pemakanan dan senaman adalah penting untuk mengawal Diabetes Jenis 1.
Punca sebenar Kencing Manis Jenis 1 sebenarnya tidak diketahui. Namun, ada beberapa faktor risiko telah dikenal pasti. Risiko untuk mendapat penyakit Diabetes Jenis 1 lebih tinggi sekiranya terdapat faktor keturunan atau genetik.
Apa yang anda perlu tahu ialah penyakit ini bukanlah salah sesiapa dan tiada cara untuk mengelakkannya.
Anda masih orang yang sama. Dengan rawatan yang betul, anda boleh menikmati kehidupan yang panjang dan bererti seperti orang lain. Anda masih boleh melakukan semua aktiviti yang biasa anda lakukan sebelum ini, termasuklah:
Bersekolah
Bekerja
Berkahwin dan mempunyai anak pada masa hadapan
Buat masa ini, masih belum ada sebarang penawar untuk Kencing Manis Jenis 1. Walau bagaimanapun, kemajuan dalam bidang perubatan telah banyak membawa perubahan, terutamanya untuk mengurus masalah kesihatan ini dengan lebih baik. Oleh sebab itu, penghidap Diabetes Jenis 1 boleh hidup lebih lama dalam keadaan sihat dan selesa asalkan mereka dapat memantau dan menguruskan penyakit yang dialami dengan baik. Berikut merupakan beberapa tip yang boleh diamalkan oleh penghidap Diabetes Jenis 1:
– Banyakkan membaca dan mendapatkan maklumat mengenai penyakit anda. Ilmu pengetahuan ini dapat membantu anda menguruskan penyakit dengan lebih baik. Ambil tahu mengenai makanan yang perlu dielakkan, ubat yang perlu diambil dan simptom komplikasi yang perlu anda waspadai.
– Ikut saranan doktor. Nasihat doktor sangat penting agar anda boleh menguruskan Kencing Manis dengan lebih baik. Pastikan anda mematuhi pesanan doktor, mengambil ubat seperti yang dijadualkan dan mengikut saranan lain yang telah diberikan.
– Pemakanan yang sihat. Diet yang seimbang dapat membantu penghidap Diabetes Jenis 1 mengawal penyakit mereka dengan lebih baik. Pemakanan yang sihat dan seimbang dapat membantu mengawal paras gula dalam darah dan membekalkan badan dengan nutrisi dan mineral yang penting agar tubuh boleh berfungsi dengan baik. Kesihatan yang baik sangat penting dalam pengurusan penyakit Diabetes.
– Kekal aktif. Selain pemakanan seimbang, senaman berkala dan kehidupan yang aktif sangat penting untuk mengawal Diabetes Jenis 1. Senaman dapat melindungi tubuh anda daripada pelbagai komplikasi Diabetes seperti tekanan darah tinggi, masalah jantung dan sebagainya. Untuk penghidap diabetes, pastikan anda sentiasa minum air yang mencukupi dan bawa bekalan snek bersama, terutama jika sering melakukan senaman berat. Amalan ini dapat membantu mengekalkan paras gula dalam darah dan mengelakkannya daripada menjadi terlalu rendah.