
Maklumat T1D
Profesional Penjagaan Kesihatan
Tentang kita
Saringan bagi komplikasi Kencing Manis Jenis 1
Disunting: 17.03.2025
Saringan untuk faktor risiko dan komplikasi Diabetes bermula apabila seseorang disahkan menghidap Kencing Manis Jenis 1. Saringan dan ujian kencing manis sangat penting kerana pengesanan komplikasi pada peringkat awal, membolehkan tidakan diambil agar ia tidak menjadi parah.
Kenal pasti berapa kerap anda perlu melakukan pemeriksaan ini dan apa yang boleh anda jangkakan daripada setiap ujian dan saringan yang dijalankan.
Berikut adalah perkara yang akan disemak secara berkala oleh pasukan penjagaan Diabetes anda:
Berat & Ketinggian untuk mengetahui sama ada anda mengekalkan berat badan yang sihat.
Ujian HbA1c: HbA1c ialah purata bacaan paras gula dalam darah anda dalam tempoh 3 bulan yang lalu. Adalah penting untuk memastikan purata bacaan ini berada di bawah 7.5% (58 mmol/L).
Kebanyakan kemudahan kesihatan tidak dapat menyediakan ujian HbA1c secara berkala kepada semua penghidap Kencing Manis Jenis 1. Anda harus cuba mendapatkan ujian ini sekurang-kurangnya sekali setiap tahun.
Pihak pasukan penjagaan Diabetes anda akan mengatur janji temu bagi pemeriksaan komplikasi Diabetes yang biasa berlaku. Mereka akan menyarankan janji temu untuk ujian yang lebih kerap dan rawatan jika mengesan sebarang masalah.
Pemantauan tekanan darah untuk mengesan hipertensi yang boleh menjejaskan saluran darah dan jantung anda.
Saringan kesihatan mata: Pemeriksaan akan dilakukan untuk melihat ketajaman penglihatan anda mengesan jika terdapat masalah seperti retinopati, katarak atau glaukoma.
Pemeriksaan kaki: Kaki anda akan diperiksa dengan teliti. Doktor juga akan bertanya beberapa soalan dan melakukan pemeriksaan fizikal.
Fungsi buah pinggang: Daripada sampel urin (air kencing) dan darah, paras albumin dan kreatinin dinilai untuk mengetahui tahap fungsi buah pinggang anda.
Lipid darah: Ujian darah akan dilakukan untuk menilai paras kolesterol anda dan memastikannya berada pada tahap normal.
Selain melakukan ujian saringan bagi komplikasi masalah kesihatan ini, penghidap Diabetes juga perlulah mengambil langkah bagi mengelakkan komplikasi tersebut daripada berlaku.
Berikut adalah antara perkara penting yang anda perlu ingat:
Berjaga-jaga dengan pemakanan anda. Diet memainkan peranan penting dalam mengawal Diabetes. Oleh itu, penting untuk anda mengambil makanan sihat dan kurangkan makanan yang tidak sihat. Selain itu, jumlah makanan yang diambil juga penting. Makan terlalu banyak boleh meningkatkan paras gula dalam darah. Tetapi, makan terlalu sedikit pula menyebabkan ia terlalu rendah. Jadi, kawalan saiz hidangan adalah sangat penting.
Kekal cergas dan jalani gaya hidup yang aktif. Aktiviti fizikal boleh memberikan pelbagai manfaat kepada tubuh. Melakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari boleh membantu penghidap Diabetes kekal cergas. Ini boleh mengurangkan risiko komplikasi seperti hipertensi dan penyakit jantung. Sebaiknya, rujuk doktor anda terlebih dahulu agar mereka dapat menyarankan senaman atau aktiviti fizikal yang sesuai untuk anda.
Pantau paras gula dalam darah anda. Pemantauan glukosa darah adalah penting untuk mengetahui sama ada kawalan kencing manis anda baik atau tidak. Doktor akan memberikan nasihat mengenai masa terbaik untuk memeriksa paras gula dalam darah anda. Jadi, sebaiknya, ikut saranan yang telah diberikan. Pastikan anda catat bacaan ini agar anda boleh kongsikannya dengan doktor bagi tujuan memantau tahap kawalan Diabetes anda.
Ikut nasihat doktor. Cara terbaik untuk mengawal Diabetes dan mengelakkan komplikasi adalah dengan mengikut saranan doktor. Pastikan anda mematuhi nasihat dari segi ubat-ubatan yang perlu diambil, dos insulin yang diperlukan dan lain-lain. Doktor anda merupakan ‘teman rapat’ seumur hidup anda dalam mengawal Diabetes dan memastikan anda mempunyai kehidupan yang berkualiti.
Komplikasi Diabetes Jenis 1, terutamanya yang tidak diuruskan dengan betul, boleh membawa maut. Oleh itu, penting untuk penghidap Kencing Manis menjalani saringan secara berkala untuk mengetahui jika mereka berisiko terhadap komplikasi-komplikasi ini. Selain itu, penghidap Kencing Manis juga perlu mengambil langkah bagi mengawal masalah kesihatan mereka dan mencegah daripada berlakunya komplikasi.