
Maklumat T1D
Profesional Penjagaan Kesihatan
Tentang kita
Kencing Manis Jenis 1 dan sakit buah pinggang
Disunting: 17.03.2025
Diabetes boleh menyebabkan kerosakan kepada buah pinggang sekiranya tidak dirawat dalam jangka masa panjang. Ini kerana, buah pinggang akan mengalami kesukaran untuk menapis cecair dan bahan buangan dari badan. Perkara ini berlaku disebabkan paras gula dalam darah yang tinggi dan tekanan darah tinggi. Ia turut dikenali sebagai diabetik nefropati (diabetic nephropathy) atau sakit buah pinggang.
Pada peringkat awal, penyakit buah pinggang tidak akan menunjukkan sebarang simptom. Namun, lama-kelamaan ia boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang. Ini bermaksud, organ tersebut berhenti berfungsi dan penghidapnya perlu melakukan dialisis untuk membersihkan darah. Penyakit buah pinggang perlu dikesan pada peringkat awal kerana bagi sesetengah keadaan, kerosakan yang berlaku boleh sembuh.
Sakit buah pinggang mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pada peringkat awal. Jadi, adalah penting untuk melakukan ujian bagi mengesan penyakit buah pinggang setiap tahun.
Pakar akan mengukur paras albumin dalam urin (air kencing) dan kreatinin dalam sampel darah untuk menentukan kesihatan buah pinggang anda. Dengan dua ujian ini, masalah buah pinggang dapat dikesan lebih awal dan dirawat agar tidak menjadi parah.
Jika kerosakan buah pinggang menjadi semakin teruk, gejala-gejala berikut boleh berlaku:
Bengkak pada kawasan buku lali, kaki dan tangan.
Darah dalam air kencing.
Berasa sangat letih.
Sesak nafas.
Gejala-gejala ini berlaku kerana buah pinggang anda mengalami kesukaran untuk membuang lebihan cecair dan bahan buangan dari tubuh. Namun begitu, simptom-simptom ini juga boleh berlaku disebabkan masalah kesihatan lain. Oleh itu, adalah penting untuk merujuk kepada doktor anda untuk maklumat dan nasihat lanjut.
Pastikan paras gula dalam darah anda dalam julat yang terkawal.
Pastikan tekanan darah anda berada pada paras yang normal.
Cuba bersenam 30 minit setiap hari.
Diabetes, meningkatkan risiko penyakit buah pinggang bagi penghidapnya. Walau bagaimanapun, ada beberapa faktor gaya hidup yang boleh meningkatkan lagi risiko ini. Ini antara perkara-perkara yang anda perlu ingat:
Tabiat merokok meningkatkan risiko penyakit buah pinggang dalam kalangan penghidap kencing manis. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kanser paru-paru, hipertensi dan masalah jantung. Sekiranya anda merokok, sebaiknya berhenti secepat mungkin.
Tidak mematuhi pelan diet yang betul boleh menimbulkan masalah kepada penghidap Diabetes. Ini kerana, jika anda tidak mengambil makanan yang betul, Kencing Manis anda mungkin akan menjadi semakin teruk. Jika Diabetes semakin tidak terkawal, penghidapnya boleh mendapat pelbagai komplikasi berkaitan dengan lebih cepat.
Mengambil makanan tinggi kandungan garam juga boleh meningkatkan risiko penyakit buah pinggang akibat Diabetes. Sekiranya anda telah disahkan menghidap Diabetes, sebaiknya elakkan pengambilan makanan bergaram kerana ia boleh meningkatkan risiko penyakit buah pinggang.
Tidak aktif dan mempunyai berat badan berlebihan juga meningkatkan risiko masalah kesihatan ini. Melakukan senaman pada setiap hari bukan sahaja boleh mengurangkan risiko penyakit buah pinggang, malah dapat membantu mengawal Kencing Manis.
Mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit buah pinggang juga meningkatkan risiko seseorang untuk menghidapnya pada masa akan datang. Jika anda mempunyai kedua-dua sejarah keluarga dengan sakit buah pinggang dan pada masa yang sama menghidap kencing manis, anda perlu menjaga kesihatan dengan lebih baik kerana ia boleh meningkatkan lagi risiko penyakit buah pinggang.
Penyakit buah pinggang merupakan sesuatu yang serius bagi penghidap Diabetes. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mereka mengambil langkah yang sepatutnya. Ini bukan sahaja bagi memastikan masalah Diabetes yang dihidapi terkawal, malah untuk menjaga kesihatan buah pinggang.
Cara terbaik untuk menguruskan penyakit buah pinggang adalah dengan mencegahnya daripada berlaku. Dengan mengikut nasihat doktor, makan secara sihat dan bersenam setiap hari, penghidap Diabetes boleh menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan risiko komplikasi yang lebih rendah.