Maklumat T1D

ikon

Profesional Penjagaan Kesihatan

Tentang kita

Cara terbaik untuk merancang pemakanan sihat

Disunting: 17.03.2025

Anne-Charlotte Ficheroulle

Pharmacist, Digital Innovation Manager, A4D

1. Mengapa penghidap Diabetes perlu mengambil makanan sihat?

Penghidap Diabetes Jenis 1 tidak semestinya perlu menjalani diet yang ketat, namun anda perlulah memberi perhatian terhadap jenis dan kuantiti makanan yang diambil. Mengapa? Ini kerana makanan sihat dapat membantu menyeimbangkan tahap gula dalam darah. Dengan merancang makanan diet sihat, penghidap Kencing Manis dapat memilih makanan yang betul dan kekal sihat.

Anda perlu menyeimbangkan pengambilan karbohidrat, tahap aktiviti harian dengan pengambilan insulin untuk memastikan kadar gula dalam darah terkawal. Ini dapat mengelakkan sebarang masalah jangka panjang yang boleh berlaku disebabkan Diabetes.

Anda perlu tahu apa yang terkandung dalam makanan yang anda sediakan. Selain itu, anda juga perlu tahu sama ada makanan yang diambil mengandungi karbohidrat baik atau karbohidrat jahat.

Karbohidrat baik terkandung dalam makanan seperti sayur-sayuran berdaun hijau, lobak merah dan terung. Karbohidrat jahat pula terkandung dalam makanan yang diproses seperti manisan dan snek (kek, roti, coklat dan gula-gula) atau minuman manis. Hati-hati ketika membeli makanan di tepi jalan yang mungkin mengandungi susu pekat atau terlalu banyak gula.

Jika boleh, baca label untuk mengenal pasti bahan-bahan yang terkandung di dalamnya, maklumat nutrisi dan jumlah kalori ketika anda membeli makanan di pasar raya.

Sekiranya anda ingin membeli makanan yang disediakan oleh penyedia makanan di tepi jalan, jangan takut untuk tanya apakah bahan yang digunakan dan jumlah gula yang digunakan.

Info lanjut.

2. Kaedah pinggan suku suku separuh

Makanan sihat seimbang perlu mengandungi karbohidrat dan nutrisi lain. Kedua-dua faktor ini penting untuk mengawal Diabetes dan memastikan makanan yang diambil itu lebih memuaskan.

Anda boleh menggunakan kaedah suku suku separuh untuk menyediakan menu makanan sihat seperti berikut:

  • 1/2 pinggan: Sayuran berdaun dan sayuran yang tidak mengandungi serat seperti kubis, brokoli, lobak merah atau timun.

  • 1/4 pinggan: Karbohidrat (bijirin atau sayuran berserat) seperti nasi, roti, jagung, kentang atau ubi keledek.

  • 1/4 pinggan: Protein seperti daging, ikan atau telur.

Pilihan: Segelas susu (rendah lemak) atau buah-buahan segar.

Penting untuk penghidap Diabetes mengambil berat akan pemakanan mereka. Makanan merupakan rakan baik penghidap Diabetes Jenis 1. Sama seperti memilih kawan yang baik, anda perlu pilih pemakanan yang betul untuk kekal sihat.

3. Petua memilih makanan sihat untuk penghidap Kencing Manis Jenis 1

  • Jangan sesekali melangkau waktu makan. Cuba makan pada waktu yang sama setiap hari.

  • Ambil karbohidrat secara konsisten setiap hari.

  • Minum banyak air.

  • Pilih karbohidrat sihat seperti beras perang berbanding nasi putih atau pulut.

  • Makan lebih sayur-sayuran dan buah-buahan.

  • Pilih snek yang sihat (contohnya buah-buahan) sekiranya anda inginkan snek.

  • Lakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Cuba elakkan/kurangkan:

  • Minuman manis, makanan ringan atau pencuci mulut.

  • Tidak mengapa jika anda ingin menikmati hidangan istimewa pada majilis-majilis khas seperti hari lahir atau perayaan. Namun, makanlah secara sederhana.

  • Makanan yang diproses (contohnya daging dalam tin, sosej).

  • Kurangkan jumlah garam dalam makanan anda.

Minum arak:

Alkohol mengandungi karbohidrat. Pengambilan secara sederhana boleh meningkatkan bacaan gula dalam darah namun minum arak secara berlebihan boleh menyebabkan hipoglisemia.

Anda boleh minum sekali-sekala tetapi secara sederhana dan pastikan anda makan pada masa yang sama, periksa gula darah anda dengan kerap dan minum banyak air pada keesokan harinya. Berhati-hati dengan risiko hipoglisemia dan rawat segera jika anda mempunyai sebarang gejala.

3. Jangan takut untuk ambil karbohidrat

Penghidap Diabetes tidak perlu mengelakkan pengambilan karbohidrat. Benar, pengambilan karbohidrat boleh meningkatkan kadar gula dalam darah, namun badan anda masih memerlukan karbohidrat sebagai sumber tenaga untuk memastikan badan dapat berfungsi dengan normal.

Sekiranya anda risau mengenai pengambilan karbohidrat, pantau pemakanan anda sepanjang hari. Dengan cara ini, anda dapat mengagak jumlah pengambilan karbohidrat harian.

4. Ingat!

Makanan diet sihat mempunyai impak terhadap kadar gula dalam darah, terutamanya bagi penghidap Diabetes Jenis 1.

Pengambilan makanan sihat merupakan cara terbaik untuk mengawal Diabetes. Dengan memastikan anda mengambil makanan diet sihat yang betul dalam jumlah yang sewajarnya, anda dapat memastikan kadar gula dalam darah kekal stabil dan mengelakkan kesan sampingan Diabetes.

Mari jawab kuiz berkenaan penyediaan makanan

ikon Penafian: