
Maklumat T1D
Profesional Penjagaan Kesihatan
Tentang kita
Pengurusan Kencing Manis ketika sakit
Disunting: 17.03.2025
Seperti semua orang, anda mungkin jatuh sakit dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun, kerana impak penyakit pada badan boleh meningkatkan atau menurunkan tahap gula dalam darah, ada beberapa langkah tambahan yang perlu dilakukan untuk memastikan paras gula dalam darah terkawal.
Tahap gula dalam darah tidak dapat diramal ketika anda jatuh sakit. Anda juga tidak dapat meramal bagaimana penyakit bakal menjejaskan kawalan Kencing Manis. Oleh itu, penting untuk anda memeriksa tahap gula dalam darah dengan lebih kerap ketika sakit dan sentiasa melaraskan dos insulin mengikut keperluan.
Apabila anda demam, selesema atau jatuh sakit dengan atau tanpa demam, badan memerlukan tenaga tambahan untuk melawan jangkitan. Ia mungkin akan mempengaruhi tindakan insulin yang diambil.
Jika anda tidak mempunyai tenaga atau insulin yang mencukupi, badan akan menggunakan simpanannya (lemak dan otot) untuk membekalkan tenaga kepada badan. Proses ini akan menghasilkan bahan buangan yang dipanggil keton yang berbahaya sekiranya ditemui dalam badan dalam kuantiti yang tinggi.
Jika paras gula dalam darah tinggi tidak dirawat, keton akan bertambah. Anda boleh mengalami Diabetic Ketoacidosis (DKA) walaupun tanpa mengetahui diagnosis penyakit yang anda hidapi.
Mengetahui cara rawat Kencing Manis ketika jatuh sakit boleh mengelakkan sebarang masalah dan komplikasi.
Matlamat penjagaan harian ketika jatuh sakit adalah untuk:
mengelakkan dehidrasi.
mencegah Ketoacidosis – (tahap gula dan keton yang tinggi dalam darah).
mencegah hipoglisemia (paras gula dalam darah rendah).
Berikut adalah beberapa simptom yang menandakan keton dihasilkan oleh badan:
Nafas berbau buah.
Banyak pergi ke tandas.
Sangat dahaga.
Rasa lebih letih daripada biasa.
Sakit perut.
Perubahan pada pernafasan mereka (biasanya lebih dalam).
Kekeliruan.
Pengsan.
Jatuh sakit atau berasa tidak sihat.
Cara terbaik untuk menguji keton adalah dengan menggunakan jalur ujian keton darah. Ramai orang tidak mempunyai jalur ujian keton darah ini atau mesinnya di rumah. Klinik atau pusat penjagaan kesihatan berhampiran anda mungkin boleh melakukan ujian ini untuk anda.
Sila ikut garis panduan am ini sebagai cara rawat Kencing Manis ketika sakit:
JANGAN HENTIKAN PENGAMBILAN INSULIN!
Dos insulin mungkin perlu ditambah atau dikurangkan, berdasarkan tahap gula dalam darah dan pengambilan makanan.
Meningkatkan pemantauan gula darah kepada 3-4 jam sekali jika anda mempunyai jalur ujian yang mencukupi.
Jika tidak dapat menguji paras gula dalam darah di rumah, kunjungi kemudahan kesihatan berdekatan untuk melakukan ujian.
Minum banyak air. Makan makanan dalam saiz kecil dan kerap tetapi dalam masa makan harian yang tetap.
Merawat demam.
Pemantauan bagi keton dalam air kencing atau keton darah adalah sangat penting. Insulin tambahan biasanya diperlukan untuk mengawal tahap gula dalam darah (melainkan penyakit tersebut menyebabkan hipoglisemia).
Jika anda mempunyai tahap gula dalam darah yang tinggi tanpa keton atau keton berkuantiti sedikit:
Ambil insulin tindakan pendek atau pantas dalam 5-10% daripada jumlah dos harian insulin anda dan ulangi setiap 2-4 jam.
Jika anda mempunyai tahap gula dalam darah yang tinggi dengan keton berkuantiti sederhana atau banyak.
Ambil insulin tindakan pendek atau pantas dalam 10-20% daripada jumlah dos harian insulin anda dan ulangi setiap 2-4 jam.
Jika anda muntah, ini adalah tanda kekurangan insulin dan Diabetic Ketoacidosis (DKA). Sila hubungi doktor atau pergi ke klinik atau hospital berdekatan untuk rawat Kencing Manis dengan segera.
Penghidap Diabetes perlu berhati-hati terutamanya ketika sakit. Pada waktu ini, paras gula dalam darah sukar untuk dijangka dan menyebabkan ia susah untuk dikawal.
Oleh sebab itu, pastikan anda tahu cara rawat Kencing Manis ketika sakit, jaga kesihatan dengan baik dan sentiasa mengikuti nasihat doktor. Jika anda jatuh sakit, beritahu doktor supaya mereka dapat memberi nasihat tentang cara-cara untuk mengawal kadar gula dalam darah.
Kawal Diabetes anda dengan baik melalui pengambilan ubat-ubatan, pemakanan yang betul dan gaya hidup sihat dapat membantu penghidap Diabetes menikmati kehidupan yang berkualiti dalam jangka masa panjang.