
Maklumat T1D
Profesional Penjagaan Kesihatan
Tentang kita
Cara Mudah Kira Karbohidrat Untuk Pengurusan Kencing Manis Jenis 1
Disunting: 17.03.2025
Dalam menguruskan Kencing Manis Jenis 1, pemakanan memainkan peranan penting. Salah satunya adalah pengambilan makanan tinggi karbohidrat, kerana ia merupakan sumber nutrien penting dalam kebanyakan makanan.
Mengapa perlu kira apabila mengambil makanan tinggi karbohidrat? Pengiraan ini membantu dalam mengekalkan paras glukosa darah yang stabil. Paras glukosa darah optimum yang disyorkan ialah antara 70 dan 180 mg/dl (3.9 dan 10.0 mmol/L) untuk sekurang-kurangnya 70 peratus sehari.
Jika anda tidak mengambil kira jumlah karbohidrat yang dimakan setiap hari, paras glukosa darah boleh menjadi sangat tinggi.
Sebaliknya, jika pengambilan karbohidrat tidak mencukupi, paras glukosa darah boleh menjadi sangat rendah (hipoglisemia).
Dengan mengetahui kuantiti karbohidrat yang dimakan, anda boleh mengawal paras glukosa darah dengan lebih baik. Ini membantu mengelakkan masalah akibat pengambilan yang terlalu tinggi atau terlalu rendah. Paras gula yang tinggi boleh menyebabkan kesan jangka panjang yang negatif terhadap tubuh badan.
Jangan stress jika anda bukan ahli matematik! SEMUA ORANG PUN SAMA!
Mulakan dengan bekerjasama dengan pasukan penjagaan kesihatan anda, terutamanya pakar pemakanan, pakar diet atau pendidik diabetes yang boleh membantu anda memahami perkara ini.
Mereka akan memberikan nasihat yang paling sesuai dengan keperluan dan gaya hidup anda. Anda akan mempelajari asas pengiraan karbohidrat untuk penghidap kenicng manis daripada pakar-pakar ini. Pada mulanya, mengira karbohidrat mungkin kelihatan seperti terlalu sukar untuk dipelajari, namun ada banyak alat tersedia yang boleh membantu anda.
Adalah penting untuk memahami jenis makanan karbohidrat dan kesannya terhadap tahap glukosa darah. Terdapat dua kelas asas makanan tinggi karbohidrat, iaitu karbohidrat mudah dan kompleks.
Karbohidrat ringkas adalah seperti yang terkandung dalam gula-gula dan minuman manis. Ia boleh menyebabkan peningkatan glukosa darah dengan cepat.
Makanan bijirin penuh, sayur-sayuran dan kekacang pula adalah contoh yang baik bagi makanan tinggi karbohidrat kompleks. Ia mempengaruhi paras glukosa darah secara beransur-ansur.
Mengetahui perbezaan ini memudahkan anda mendapatkan pilihan yang lebih sihat apabila membeli-belah keperluan makanan di kedai.
Alat visual sangat membantu apabila anda ingin menganggarkan saiz hidangan dan kandungan karbohidrat.
Anda boleh menganggarkan saiz sekeping buah dengan tangan anda atau jumlah pasta dengan cawan penyukat.
Sebagai contoh, tangan yang digenggam boleh membantu anda menyukat berapa banyak nasi atau pasta yang perlu diletakkan di atas pinggan.
Kaedah ini memberi anda rujukan visual dan membantu anda menganggarkan pengambilan makanan tinggi karbohidrat dengan lebih tepat.
Pada label kebanyakan makanan yang dibungkus, anda boleh lihat kandungan karbohidrat yang biasanya dilabelkan sebagai "carbs" dan diukur dalam gram. Ini memudahkan anda memantau jumlah karbohidrat yang anda makan semasa anda melakukan pengiraan karbohidrat untuk Diabetes.
Pilihan ini boleh membantu jika anda sentiasa dalam perjalanan atau tidak mempunyai banyak masa untuk memasak.
Dengan menulis apa yang anda telah makan dalam diari makanan atau menggunakan aplikasi, anda boleh memantau kemajuan anda semasa membuat pengiraan karbohidrat untuk Kencing Manis.
Langkah ini juga memudahkan anda untuk melihat corak atau pola prestasi anda. Jadi, anda boleh membuat perubahan pada pelan pemakanan dan jadual insulin jika perlu.
Menggunakan aplikasi makanan juga memudahkan anda mengira pengambilan makanan tinggi karbohidrat, terutamanya apabila mencuba makanan baharu atau makan di luar.
Banyak aplikasi kini boleh menunjukkan bilangan gram karbohidrat, protein, lemak dan serat yang terkandung dalam makanan, jadi anda tidak perlu membuat sebarang pengiraan.
Aplikasi ini juga membolehkan anda memantau jumlah karbohidrat yang telah anda makan pada hari tersebut. Ia juga boleh memberitahu anda masa untuk memeriksa paras glukosa darah.
Memantau perkara ini adalah penting supaya anda boleh mengetahui makanan yang paling sesuai dan membuat perubahan. Ini membantu anda kekal dalam julat paras glukosa darah optimum di antara 70 dan 180 mg/dl atau 3.9 dan 10.0 mmol/L.
Dengan latihan konsisten, lama kelamaan anda akan lebih mahir untuk menganggarkan jumlah karbohidrat dalam makanan biasa tanpa perlu terlalu bergantung kepada label atau alat pengukur.
Kemahiran ini berguna apabila anda perlu mengukur kandungan dalam sesuatu makanan contohnya makanan tinggi karbohidrat yang mustahil untuk dikira dengan tepat.
Anggaplah kemahiran mengira karbohidrat sebagai sesuatu yang boleh anda pelajari untuk menjadi lebih mahir dengan latihan dan masa.
Bersabar dengan diri sendiri dan tanamkan sikap ingin belajar. Setiap hari adalah berbeza. Mengetahui bagaimana tubuh anda bertindak balas dengan makanan adalah sesuatu yang sangat penting dan boleh merubah keadaan.
Kebolehan anda menganggar dan membuat pengiraan karbohidrat dalam kehidupan harian (terutamanya apabila mengambila makanan tinggi karbohidrat) akan bertambah baik jika diamalkan secara konsisten.
Percaya pada diri sendiri, ANDA BOLEH MELAKUKANNYA!
PENGIRAAN KARBOHIDAT BOLEH DILAKUKAN. Pengiraan karbohidrat membantu anda menguruskan Diabetes dengan lebih baik!
Penghidap Kencing Manis Jenis 1 mungkin sudah tahu bahawa pengiraan karbohidrat untuk diabetes adalah kemahiran yang amat berguna. Ia membolehkan anda menguruskan paras glukosa darah dengan lebih baik terutamanya selepas mengambil makanan tinggi karbohidrat.
Apabila anda mengetahui perkara ini, anda mampu untuk mengawal diabetes anda dengan lebih baik. Ketahuilah bahawa anda tidak boleh menguasai kebolehan mengira karbohidrat dalam sehari. Ia mengambil masa untuk mencuba pelbagai perkara dan mengetahui mana yang paling berkesan. Cuba ubah satu perkara pada satu masa supaya anda dapat melihat bagaimana setiap perubahan mempengaruhi glukosa darah anda.
Jangan takut untuk meminta bantuan. Ramai orang berhampiran anda yang boleh membantu.
Anda boleh tahu lebih lanjut dengan menyertai kumpulan komuniti seperti HelloType1 di Facebook dan juga pelbagai artikel yang tersedia dalam talian.
Ingat, menguruskan paras glukosa darah anda tanpa melihat jumlah karbohidrat yang telah anda makan adalah sesuatu yang sukar. Ini boleh menyebabkan kesan yang tidak baik.
Yakinlah bahawa anda boleh jadikan pengiraan karbohidrat sebagai sebahagian daripada kehidupan harian ada. Ini adalah langkah anda dalam menangani Diabetes.