Maklumat T1D

ikon

Profesional Penjagaan Kesihatan

Tentang kita

Tips bersenam untuk penghidap Diabetes Jenis 1

Disunting: 17.03.2025

Anne-Charlotte Ficheroulle

Pharmacist, Digital Innovation Manager, A4D

1. Kenapa perlu aktif?

Senaman sangat penting untuk setiap orang. Ia dapat memberikan kita lebih banyak tenaga di samping membantu mengekalkan berat badan yang sihat. Aktiviti fizikal sangat penting untuk penghidap Kencing Manis Jenis 1 kerana ia dapat membantu mengawal paras gula dalam darah.

Semua jenis senaman baik untuk kesihatan – berjalan, berbasikal atau bermain bola. Cuba jadi lebih aktif pada setiap hari. Sebagai permulaan, cuba bersenam selama 30 minit setiap hari, kemudian tingkatkan kepada 60 minit sehari sebanyak 5-6 kali seminggu.

2. Bagaimanakah senaman boleh mempengaruhi tahap gula dalam darah?

Aktiviti fizikal boleh memberi kesan kepada paras gula dalam darah melalui beberapa cara

Ia biasanya menurunkan tahap gula dalam darah disebabkan oleh:

  • Otot menggunakan banyak glukosa sebagai tenaga.

  • Menjadikan tubuh lebih sensitif terhadap insulin.

Kadangkala juga boleh meningkatkan paras gula dalam darah disebabkan:

  • Pengaruh atau kesan hormon lain kepada tubuh badan (biasanya disebabkan stres atau keterujaan.

  • Ketika sakit.

3. Tip senaman untuk penghidap Kencing Manis Jenis 1

  • Semak bacaan paras gula dalam darah sebelum bersenam: Ini membantu anda menentukan berapa banyak makanan yang diperlukan sebelum mula bersenam.

  • Kit hipoglisemia: Pastikan anda sentiasa membawa kit hipoglisemia (seperti satu botol jus atau sepaket biskut) ketika bersenam.

  • Maklumkan kepada jurulatih atau guru: Pastikan ada orang lain yang mengawasi atau bersama anda semasa bersenam. Individu ini dapat membantu anda sekiranya terkena serangan hipolisemia atau hiperglisemia.

  • Suntikan insulin: Elakkan bersenam dalam tempoh 2 jam selepas suntikan insulin kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah jatuh lebih cepat. Berbincang dengan doktor sekiranya anda tidak pasti mengenai jadual suntikan insulin.

  • Makanan sebelum bersenam: Tanya doktor atau jururawat tentang jumlah makanan yang perlu anak anda ambil sebelum bersenam. Antara pilihan makanan yang baik ialah buah-buahan, susu rendah lemak, yogurt, biskut atau sekeping roti.

  • Senaman dalam tempoh yang panjang: Sekiranya anda bersenam atau melakukan aktiviti fizikal dalam tempoh yang panjang, anda perlukan lebih karbohidrat dan/atau pengurangan dos insulin. Bincangkan perkara ini dengan doktor atau jururawat anda.

4. Menjaga kesihatan anda

Anda perlu mengutamakan kesihatan diri. Adalah penting untuk memaklumkan kepada guru jika anda berasa tidak sihat sewaktu bersenam.

Berhenti bermain atau bersenam apabila perlu adalah sesuatu yang patut anda lakukan. Anda perlu penuhi keperluan Diabetes anda seperti mengambil snek untuk merawat gejala hipoglisemia atau memeriksa paras glukosa darah.

5. Aktiviti fizikal untuk mereka yang mempunyai komplikasi

Penting untuk anda ingat bahawa, penghidap Diabetes boleh mengalami pelbagai masalah kesihatan lain, misalnya neuropati atau masalah jantung. Bersenam tanpa menghiraukan perkara ini boleh mencetuskan masalah yang lebih besar atau dalam sesetengah kes boleh membawa kepada kecederaan serius.

Sebagai contoh, individu yang mempunyai masalah saraf di kawasan kaki mungkin akan mengalami kesukaran untuk berlari atau berjoging. Bukan itu sahaja, mereka juga lebih berisiko untuk mengalami kecederaan, lepuh atau luka pada bahagian kaki yang boleh menyebabkan komplikasi serius bagi penghidap Diabetes sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Bagi penghidap Diabetes yang mempunyai masalah jantung, sebaiknya dapatkan konsultasi doktor terlebih dahulu. Ketahui aktiviti fizikal apa yang anda boleh lakukan dan apa yang perlu dielakkan. Dengan cara ini, anda boleh merancang rutin aktiviti fizikal yang selamat untuk tubuh anda.

Salah satu tip yang baik adalah dengan mencatat dahulu aktiviti apa yang bakal anda lakukan. Jangan lupa catat sekali kesan sampingannya terhadap tubuh anda. Jika anda berasa penat atau pitam selepas bersenam, cuba kurangkan waktu dan jumlah aktiviti yang dilakukan. Bagi penghidap neuropati, pastikan anda memeriksa tubuh badan anda sekiranya ada luka atau lepuh selepas bersenam.

6. Ingat!

Senaman merupakan aktiviti penting yang membantu menguatkan badan dan mengekalkan fungsi tubuh yang baik. Bagi penghidap Diabetes, aktiviti fizikal sangat penting kerana ia boleh membantu mengelakkan komplikasi penyakit mereka, serta mengawal paras gula dalam darah.

Sebelum bersenam, sebaiknya dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu, terutamanya jika anda merancang untuk melakukan aktiviti berat. Ini kerana, sesetengah aktiviti fizikal mungkin tidak selamat atau berisiko untuk penghidap Diabetes. Walau bagaimanapun, doktor masih menggalakkan penghidap Diabetes supaya kekal aktif untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan masalah kesihatan lain pada masa akan datang.

Mari menjawab kuiz

ikon Penafian: