Maklumat T1D

ikon

Profesional Penjagaan Kesihatan

Tentang kita

Bagaimana tekanan dan "burnout" mempengaruhi Diabetes Jenis 1

Disunting: 17.03.2025

Johanah Co

HelloType1 Digital Learning and Development Manager, A4D

1. Mengimbangi tekanan dan kencing manis

Kehidupan kita pada setiap hari boleh membawa kegembiraan dan tekanan. Melalui kehidupan adalah seperti melalui kitaran keperluan, tekanan, dan keseronokan yang berbeza. Apabila digabungkan dengan Diabetes Jenis 1, perkara ini menjadi lebih rumit. Anda mungkin memerlukan semua kekuatan anda untuk mengharungi ribut hipoglisemia dan hiperglisemia.

Diabetes Jenis 1 adalah keadaan kronik yang perlu diuruskan setiap hari. Mempunyai banyak perkara yang perlu dilakukan boleh membuatkan tertekan. Perkara ini boleh mengubah tahap glukosa darah dalam darah anda. Mungkin tidak mudah untuk mencari keseimbangan dalam hidup anda apabila anda berhadapan dengan kedua-dua kesan stres dan diabetes.

Menjaga diri sebagai penghidap Diabetes Jenis 1 sepanjang masa boleh menjadi sukar kerana terdapat banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Ini boleh menyebabkan anda tertekan.

2. Mengawal tahap stres dan menguruskan tahap glukosa darah

Elemen tekanan yang menjejaskan glukosa darah termasuk pengurusan glukosa darah yang rumit, pengambilan insulin, dan penyediaan makanan.

Selain itu, penghidap Kencing Manis Jenis 1 juga perlu menangani dan mengimbangi tuntutan kehidupan berdasarkan peranan masing-masing, serta memberi ruang kepada perubahan.
Ini boleh termasuk kerja sekolah, pekerjaan, hobi, hubungan, tugas di rumah dan tugas lain. Untuk mengekalkan tahap glukosa darah anda dalam julat yang disyorkan (70-180 mg/dl atau 4-10 mmol/L), anda perlu mencari keseimbangan antara beberapa faktor.


Makanan, senaman fizikal, dan faktor yang tidak boleh diukur seperti stres dan tahap hormon boleh mempengaruhi tahap glukosa darah. Meramal paras gula dalam darah bagi penghidap Diabetes Jenis 1 boleh menjadi rumit oleh faktor yang tidak boleh diukur ini. Untuk mengekalkan tahap kesihatan, anda perlu membuat pelarasan dan mencapai keseimbangan antara pelbagai aktiviti.

3. Bagaimana stres mempengaruhi Diabetes Jenis 1

Tahukah anda situasi yang menekan boleh meningkatkan gula dalam darah dan menyebabkan kita berasa letih?
Apabila ia berlaku, badan kita secara semula jadi bertindak balas dengan melepaskan hormon adrenalin dan kortisol. Ini dipanggil sindrom "fight or flight". Inilah sebabnya mengapa terlalu banyak tekanan dan Diabetes bukan satu kombinasi yang baik.
Paras glukosa dalam darah mungkin meningkat buat sementara waktu kerana hormon ini (memberi kita tenaga untuk " melawan ").

4. Tekanan dan kencing manis: Apakah yang mempengaruhi tahap glukosa darah?

  • Perubahan dalam tabiat pemakanan. Apabila seseorang tertekan, tabiat pemakanan mereka mungkin berubah. Mereka mungkin mula makan lebih atau kurang makan daripada biasa, kadangkala ke tahap yang agak melampau. Sesetengah orang mungkin cuba mengurangkan rasa tertekan dengan memakan makanan yang tinggi karbohidrat. Perkara ini boleh meningkatkan tahap glukosa darah mereka dengan cepat. Ini tidak baik untuk Diabetes Jenis 1.

  • Perubahan dalam rutin Diabetes. Situasi yang menekan boleh menyebabkan seseorang yang menghidap Diabetes Jenis 1 lebih cenderung untuk lupa mengambil ubat atau memantau paras gula dalam darah mereka. Faktor-faktor ini mungkin menyumbang kepada tahap glukosa darah yang tidak menentu.

  • Perubahan waktu atau pola tidur. Apabila seseorang terpaksa kuat bekerja, rutin harian biasa mereka mungkin terganggu. Kurang tidur ini mungkin mempunyai kesan ke atas sensitiviti insulin dan paras glukosa darah.

  • Perubahan dalam tahap aktiviti. Ada kemungkinan anda tidak mempunyai masa untuk bersenam seperti biasa.
    Apabila kurang melakukan aktiviti fizikal, tubuh mungkin menjadi kurang sensitif terhadap insulin. Ini bermakna lebih banyak insulin diperlukan untuk memastikan paras glukosa dalam darah dalam julat yang disyorkan. Ini boleh menyebabkan rintangan insulin dan tahap glukosa darah yang lebih sukar untuk dikawal.

5. Awas! Stres boleh menyebabkan "burnout"

Menghidap Diabetes Jenis 1 dan hidup dengan keadaan tertekan boleh menyebabkan stres diabetes, kemurungan dan keletihan. Berikut ialah beberapa pendekatan yang berguna dalam mengendalikan perkara ini.

  • Tetapkan target yang sesuai dengan diri anda. Matlamat untuk perubahan tabiat yang lebih sihat adalah baik. Pastikan matlamat anda realistik dan mulakan perlahan-lahan.Jika anda ingin bersenam lebih banyak, anda tidak perlu berlatih seperti seorang atlet serta-merta. Jika anda ingin berjalan 30 minit sehari, mulakan dengan 10 dan tingkatkan. Perlahan tetapi konsisten tidak mengapa!

  • Fokus pada satu perkara pada satu masa. Ia boleh jadi terlalu banyak untuk mengendalikan semuanya sekaligus. Untuk mengurangkan tahap stres anda, buat senarai perkara yang perlu dilakukan dan lakukannya satu demi satu. Hadiahkan diri anda untuk apa yang telah anda capai.

  • Bercakap dengan orang lain yang menghidap Diabetes Jenis 1. Anda tidak bersendirian dalam menghadapi kedua-dua kesan tekanan dan Diabetes. Anda boleh mencari orang yang memahami apa yang anda alami dengan menyertai mana-mana komuniti dalam talian Diabetes seperti dedoc (www.dedoc. org). Pasukan penjagaan kesihatan anda mungkin mengetahui tentang kelab Diabetes atau kumpulan sokongan rakan sebaya yang boleh anda sertai. Berkongsi apa yang anda rasa dan fikir dengan orang lain yang menghidap diabetes mungkin memberi anda idea tentang cara menangani masalah dan pergelutan dalam diri.

Penjagaan Diabetes adalah menjaga kesihatan anda secara keseluruhan, bukan sahaja tubuh fizikal anda, tetapi juga keadaan mental dan emosi anda. Jika anda tidak menjaga masalah kesihatan mental anda, ia boleh menjadi lebih teruk begitu juga dengan Diabetes. Berita baiknya, kita boleh menjadi lebih baik.

6. Hidup dengan tekanan dan Diabetes: Mencari kekuatan dan dorongan

Menghadapi tekanan hidup secara berterusan mungkin bermakna perlu menangani masalah yang jauh lebih besar daripada apa-apa yang pernah anda hadapi sebelum ini. Adalah lebih baik untuk menerima hakikat tentang Diabetes anda dan belajar bagaimana untuk menanganinya.

Tahukah anda terdapat atlet, pemimpin dan juara yang hebat menghidap Diabetes Jenis 1 tetapi masih mampu untuk berjaya? Orang-orang yang telah berjaya dalam kehidupan mereka mungkin melihat Diabetes Jenis 1 mereka sebagai elemen yang menjadikan mereka kuat, gigih, dan berazam untuk mengharungi masa-masa sukar dan kegagalan. Meraikan dan mengetahui sepenuhnya keadaan seseorang mungkin perkara paling penting yang perlu dilakukan. Ia mungkin tidak mudah.

Ia boleh menjadi sukar untuk menghentikan rasa tertekan, tetapi ia tidak mustahil. Dengan memahami Diabetes Jenis 1, ia akan membantu anda menghadapi naik turun perjalanan Diabetes Jenis 1 ini.
Kita boleh lebih bersedia dan menghadapi situasi yang sukar jika kita menyedari bila ia akan timbul. Peluang untuk belajar dan berjaya ada. Perlu diingat, dengan alat dan sokongan yang betul, anda boleh mencapai kejayaan.

ikon Penafian: