
Maklumat T1D
Profesional Penjagaan Kesihatan
Tentang kita
Kesihatan mental dan Diabetes Jenis 1
Disunting: 17.03.2025
Menguruskan kehidupan dengan Diabetes Jenis 1 boleh menjadi sesuatu yang lebih sukar. Sifat kronik keadaan ini memerlukan penjagaan diri yang kerap dan berterusan. Ini boleh menyebabkan seseorang mudah menjadi tertekan.
Bagaimanapun, tekanan yang berterusan bukan sahaja tidak baik untuk kesihatan mental, malah memburukkan kesihatan fizikal anda.
Apabila anda tertekan, badan anda mengeluarkan hormon tekanan, yang membuatkan hati mengeluarkan glukosa. Jika anda menghidap Diabetes Jenis 1, paras glukosa dalam darah yang lebih banyak bermakna anda memerlukan lebih banyak insulin untuk menangani tahap glukosa darah yang lebih tinggi.
Anda mungkin berakhir dalam kitaran menurun di mana kesihatan mental anda memberi kesan kepada kesihatan fizikal anda, yang seterusnya juga memberi kesan kepada kesihatan mental anda.
Dalam bahagian ini, anda akan belajar tentang kesan kesihatan mental dan Diabetes, serta cara untuk keluar daripada lingkaran tekanan ini.
Mari kita terokai bahagian psikologi berbeza yang dialami oleh penghidap Diabetes. Ramai orang yang menghidap Diabetes mungkin bimbang tentang cara terbaik menguruskan keadaan mereka dan mengelakkan komplikasi. Keperluan untuk sentiasa memantau dan menyesuaikan tahap glukosa darah melalui suntikan insulin dan perancangan makanan yang teliti boleh memberi tekanan kepada sesiapa sahaja.
Menafikan apa yang sedang dialami, berasa teruk, atau marah pada diri sendiri kerana apa yang dialami hanya akan membuat anda lebih tertekan.
Emosi negatif seperti tidak menerima diri sendiri, menyalahkan orang lain, dan kebimbangan boleh menghabiskan tenaga kita dengan cara yang sia-sia. Ini boleh menyebabkan Diabetes "burnout" atau masalah kesihatan mental yang lain.
Penyelidik bercakap tentang bagaimana Diabetes "burnout" boleh menjadi buruk kerana penghidap Diabetes Jenis 1 mungkin tidak begitu menjaga kesihatan fizikal, sosial, mental dan emosi mereka. Dan Diabetes tidak pernah berhenti, pada setiap masa.
Menjaga dan menyayangi diri sendiri boleh menjadi lebih sukar bagi penghidap Diabetes Jenis 1 yang mempunyai pandangan negatif terhadap diri mereka. Ini mungkin menyebabkan individu ini sukar untuk berhubung dengan orang lain, hidup dengan baik dan bercakap dengan pasukan penjagaan kesihatan mereka.
Berehatlah. Walaupun anda tidak boleh mengabaikan keadaan anda, kadangkala anda perlu berehat dan tidak terlalu risau dengan diri sendiri.
Fokus pada Penjagaan Diri. Berikan masa untuk anda melakukan aktiviti yang anda gemari. Ini akan memberi ruang untuk anda melapangkan fikiran daripada kebimbangan terhadap kesihatan anda.
Buat ujian lebih kerap untuk memahami pola paras glukosa darah dengan lebih baik. Lebih banyak data yang kita ada, sama ada glukosa darah kita berada dalam julat rendah, pertengahan atau tinggi, ini boleh memberi kita kesedaran yang lebih baik tentangnya.
Jika ia membuatkan anda berasa tertekan, anda mungkin ingin berbincang dengan pasukan penjagaan kesihatan anda untuk mendapatkan nasihat tentang cara untuk meringankan beban ini. Walaupun nampak mudah, bercakap dengan seseorang benar-benar boleh membantu dalam masalah kesihatan mental anda.
Berhubung. Bercakap dan memaklumkan kepada keluarga dan rakan anda bahawa anda tertekan boleh membantu anda berasa lebih baik tentang kesihatan mental dan Diabetes anda. Ini membantu orang yang anda sayangi menyokong anda dan masalah kesihatan yang anda alami dengan lebih baik. Sesetengah penghidap Diabetes Jenis 1 meminta bantuan daripada orang tersayang untuk mengingatkan mereka supaya mengambil suntikan insulin dan makan tepat pada masanya. Selain itu, anda boleh menetapkan peringatan manual pada telefon jika anda tidak mahu sentiasa bergantung kepada orang lain.
Buat Perubahan Kecil. Anda boleh memberitahu doktor dan jururawat anda bagaimana mereka boleh membantu anda membuat perubahan kecil pada kehidupan harian anda. Contohnya, mereka boleh mencadangkan cara lain, seperti penggunaan teknologi untuk Diabetes Jenis 1 (seperti penggunaan pam insulin atau Sistem Pemantauan Glukosa Berterusan) untuk mengurangkan tekanan.
Ubah Sudut Pandangan Anda. Anda mungkin perlu meninggalkan beberapa perkara jika anda menghidap Diabetes Jenis 1. Namun, ada kalanya, perkara itu boleh memberikan kemenangan dan kegembiraan kecil. Sebagai contoh, anda boleh menikmati sedikit snek atau makanan manis hanya untuk membuat diri anda berasa lebih baik. Namun, ingat untuk memeriksa glukosa darah anda, dapatkan suntikan insulin anda mengikut keperluan, dan lakukan senaman ringan.
Buat Rangkaian. Menyertai komuniti atau forum dalam talian dengan individu yang turut menghidap Diabetes Jenis 1 akan mengurangkan rasa keseorangan. Ia juga boleh mengajar anda perkara baharu, menyokong dan memberi anda kekuatan untuk meneruskan kehidupan sebagai penghidap Diabetes Jenis 1. Bercakap dengan orang lain juga boleh membantu anda mengatasi kesihatan mental dan Diabetes anda dengan lebih baik.
Dapatkan Bantuan Dengan Terapi. Jika masih terlalu berat untuk anda kendalikan, adalah baik untuk berbincang dengan doktor, ahli psikologi, pakar psikiatri, kaunselor, pekerja sosial atau ahli terapi. Mereka mungkin dapat membantu anda dengan masalah yang anda hadapi. Mereka boleh membantu anda mengatasi masalah yang sukar ini dan mencadangkan langkah yang baik untuk menangani Diabetes anda. Menghadapi tekanan hidup secara berterusan boleh bermakna anda perlu menghadapi masalah yang lebih berat daripada apa yang pernah anda hadapi sebelum ini. Perkara yang paling mencabar , tetapi yang terbaik untuk dilakukan ialah menerima dan mencintai hakikat anda sebagai penghidap Diabetes.
Bagi individu yang telah berjaya menguruskan Diabetes Jenis 1, mereka mungkin melihatnya sebagai sesuatu yang menjadikan mereka kuat, gigih dan berazam untuk mengharungi masa sukar dan kegagalan.
Namun, tidak mudah untuk melakukan perkara ini. Anda mungkin perlu mengambil masa, usaha, dan, yang paling penting, penerimaan dan pemahaman tentang keadaan anda untuk anda berjaya. Tekanan yang berulang boleh menjadi sukar dan meletihkan. Namun, tidak mustahil untuk berasa lebih baik semula.
Anda akan lebih senang hati mengatasi suka dan duka apabila anda telah menerima hakikat bahawa anda menghidap Diabetes Jenis 1.
Anda juga boleh belajar cara mengendalikan peristiwa yang menimbulkan tekanan dengan lebih baik jika anda tahu bila ia akan berlaku. Usaha untuk mencapai kejayaan adalah tidak mustahil.