Maklumat T1D

ikon

Profesional Penjagaan Kesihatan

Tentang kita

Apakah garis panduan untuk pemantauan paras gula dalam darah?

Disunting: 17.03.2025

Anne-Charlotte Ficheroulle

Pharmacist, Digital Innovation Manager, A4D

1. Apakah alat yang diperlukan untuk pemantauan paras gula dalam darah?

Meter glukosa darah – Glukometer
Meter glukosa darah atau glukometer adalah sejenis peranti elektronik mudah alih untuk pemantauan paras gula dalam darah. Ia hanya memerlukan setitik darah daripada jari anda untuk mendapatkan bacaan. Menyelenggara dan menetukur glukometer anda secara berkala adalah penting. Cara penggunaan setiap peranti biasanya berbeza mengikut model. Menyemak panduan pengguna atau mendapatkan nasihat daripada doktor atau jururawat akan membantu anda menggunakan dan menyimpan alatan tersebut dengan betul.

Jalur ujian (test strip) glukosa darah
Setiap kali menggunakan glukometer, pastikan anda menggunakan jalur ujian yang direka khas untuk alat tersebut. Setiap jalur hanya boleh digunakan sekali sahaja. Jadi, anda perlu menggunakan jalur ujian yang baharu setiap kali anda ingin memeriksa paras gula dalam darah. Jangan sesekali gunakan jalur ujian yang telah luput. Selain itu, simpan jalur ujian seperti yang diarahkan. Elakkan menyimpannya di dalam peti sejuk.

Penusuk jari dan lanset
Lanset ialah jarum halus dan tajam yang digunakan untuk menusuk kulit pada kawasan hujung jari. Anda akan menggunakan penusuk jari (finger pricker) dan lanset untuk mendapatkan titisan darah yang diperlukan bagi melakukan pemeriksaan.

2. Bila dan berapa kerap saya perlu melakukan pemantauan paras gula dalam darah?

Anda perlu memeriksa kadar gula dalam darah sekurang-kurangnya 4 kali sehari. Namun, jika boleh, cuba lakukan pemeriksaan sebanyak 6 kali sehari sekiranya anda mempunyai jalur ujian yang mencukupi. Simpan rekod bacaan setiap kali anda menggunakan glukometer.

Waktu terbaik untuk melakukan pemantauan paras gula dalam darah ialah:

  1. Apabila anda bangun pagi, sebelum sarapan.

  2. Sebelum makan tengah hari.

  3. Pada waktu petang, sebelum makan malam.

  4. Sebelum tidur.

Sekiranya anda mempunyai jalur ujian lebih, lakukan pemeriksaan tambahan seperti berikut:

  • 2 jam setengah selepas sarapan.

  • 2 jam setengah sebelum makan tengah hari.

Anda boleh buat ujian lebih kerap sekiranya melakukan senaman yang berat (sebelum, semasa dan beberapa jam selepas), kadangkala pada waktu malam untuk mengesan tahap glukosa darah tinggi atau rendah, atau ketika anda sakit untuk mengelakkan hiperglisemia. Ujian ini juga penting untuk mengesahkan hipoglisemia (tahap glukosa darah rendah) bagi memastikan anda dapat pulih seperti sediakala.

Tahap glukosa darah yang tidak terkawal boleh menyebabkan masalah jangka pendek seperti hipoglisemia. Namun, ia juga boleh menyebabkan masalah yang boleh mengancam nyawa seperti Diabetic Ketoacidosis (DKA) dan koma diabetik.

3. Kepentingan pemantauan paras gula dalam darah

Pengurusan Diabetes dengan baik memerlukan pemantauan paras gula dalam darah yang konsisten. Anda boleh lakukan ujian 6 kali sehari sekiranya anda mempunyai jalur ujian yang mencukupi. Bacaan gula dalam darah perlu dipantau oleh doktor supaya corak atau pola turun naik glukosa darah dapat dikenal pasti. Maklumat ini dapat membantu pakar menyesuaikan pelan rawatan Kencing Manis yang terbaik untuk anda.

Bukan semua orang mempunyai lebihan jalur ujian. Sekiranya anda tidak boleh melakukan ujian sehingga 6 kali sehari, cuba ambil bacaan sekurang-kurangnya 4 kali sehari. Anda boleh ambil bacaan selepas setiap waktu makan (3 kali) dan sebelum tidur (1 kali). Berbincanglah dengan doktor sekiranya anda mempunyai masalah untuk menggunakan glukometer.

4. Cara terbaik untuk melakukan pemantauan paras gula dalam darah

1. Cuci dan keringkan tangan.
2. Masukkan jalur ujian ke dalam meter glukosa darah.
3. Cucuk jari anda dengan lanset.
4. Titiskan darah yang mencukupi untuk memulakan ujian.
5. Dalam beberapa saat, meter glukosa darah akan mengeluarkan bacaan.
6. Catatkan keputusan dalam diari gula darah atau buku log.
7. Buang jalur ujian dan jarum yang digunakan dengan betul. Simpan meter glukosa darah anda.

Tips: Pilih tempat tusukan yang betul – Jangan cucuk jari yang sama setiap kali mengambil bacaan. Cucuk jarum pada kawasan tepi jari supaya ia kurang menyakitkan.

5. Bagaimana cara membaca keputusan glukometer?

Tahap gula dalam darah yang baik adalah antara 4 – 10 mmol\/l (72 – 180 mg\/dL).

– Cuba kekalkan paras gula dalam darah antara 4 – 7 mmol/L (72 – 126mg/dL) bagi bacaan selepas bangun tidur dan sebelum makan.

– Untuk selepas makan dan sebelum tidur, cuba kekalkan paras glukosa darah antara 5 – 10 mmol/L (90 – 180 mg/dL).

Kadar gula dalam darah yang optimum berbeza mengikut individu. Oleh itu, berbincanglah dengan doktor tentang tahap yang paling sesuai untuk anda.

Jika bacaan di bawah 4.0 mmol/L (72 mg/dL), ia menandakan anda mengalami ‘HYPO’ (tahap gula dalam darah rendah). Rujuk helaian fakta hipoglisemia untuk maklumat lanjut.

Kadangkala, anda mungkin mengalami gejala hipoglisemia sekiranya bacaan kadar gula dalam darah lebih atau sekitar 4.0 mmol/L (72 mg/dL) – anda masih perlu dirawat.

Ambil perhatian:

– Sekiranya kadar gula dalam darah sebelum makan tinggi, dos insulin yang diambil sebelum ini mungkin terlalu rendah.

– Sekiranya kadar gula dalam darah sebelum makan selalu rendah, dos insulin yang diambil sebelumnya mungkin terlalu tinggi.

– Jika kadar gula dalam darah kadangkala tinggi dan kadangkala rendah, ada banyak sebab yang mungkin menjadi punca. Antaranya disebabkan dos insulin, makanan yang diambil dan senaman yang dilakukan.

Berbincanglah dengan doktor sekiranya anda mempunyai persoalan lanjut mengenai pemantauan paras gula dalam darah.

6. Apakah itu HbA1c?

Setiap 3 bulan, doktor akan melakukan ujian HbA1c. Keputusan ujian ini akan memberikan gambaran purata kadar gula dalam darah anda untuk tempoh masa 2 hingga 3 bulan lalu. Jika paras HbA1c anda adalah tinggi, ini menunjukkan kawalan kadar gula dalam darah yang lemah. Ia juga menandakan risiko anda terhadap komplikasi Diabetes anda adalah semakin tinggi.

Dengan tabiat pemantauan kadar glukosa darah yang baik, doktor anda akan menetapkan sasaran keputusan ujian HbA1c di bawah 7%.

Sekiranya tahap HbA1c anda lebih daripada 7.5%, anda perlu cuba merendahkan bacaan tersebut untuk mengelakkan sebarang komplikasi jangka masa panjang. Lakukan pemantauan paras gula dalam darah dengan lebih kerap untuk mengurangkan risiko.

Ambil kuiz mengenai pemantauan glukosa darah sekarang!

ikon Penafian: