
Maklumat T1D
Profesional Penjagaan Kesihatan
Tentang kita
Pengurusan hiperglisemia
Disunting: 17.03.2025
Tahap glukosa darah menandakan jumlah gula dalam darah. Apabila tahap gula meningkat dengan mendadak (lebih daripada 14mmol/L atau 250 mg/dL), keadaan ini dikenali sebagai hiperglisemia. Kadar gula dalam darah tinggi perlu dirawat secepat mungkin.
Jika ia tidak dirawat, ia boleh menjadi serius dan membawa komplikasi yang memerlukan bantuan kecemasan segera, contohnya koma diabetik.
Gula dalam darah yang terlalu banyak boleh merosakkan saraf, salur darah dan organ-organ yang penting. Ia boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti sakit jantung, strok, kegagalan ginjal (buah pinggang), kebutaan, luka yang tidak sembuh-sembuh dan amputasi kaki.
Tanda hiperglisemia dan gejala kadar gula dalam darah tinggi berbeza bergantung kepada penghidap Diabetes.
Ini adalah beberapa gejala yang menandakan anda mengalami kadar gula dalam darah tinggi:
Dahaga sepanjang masa
Kerap membuang air kecil terutama waktu malam.
Penglihatan kabur
Sangat letih sepanjang masa
Mulut kering
Dalam kes yang serius, anda mungkin akan mengalami:
Loya
Sakit perut
Pernafasan tidak normal
Nafas yang berbau seperti alkohol
Kadangkala, masalah kesihatan ini boleh menjadi sangat serius sehingga menyebabkan anda pengsan atau tidak sedarkan diri. Jika anda mempunyai tanda-tanda ini, pergi ke hospital secepat mungkin.
Pengurusan Diabetes Jenis 1 memerlukan pemantauan dalam 3 perkara. Anda perlu memantau insulin, makanan yang diambil dan jumlah senaman atau aktiviti fizikal yang dilakukan setiap hari.
Ketiga-tiga faktor ini perlu dititikberatkan. Sekiranya mana-mana satu daripada faktor ini tidak seimbang, tahap gula dalam darah akan menjadi sukar untuk dikawal. Secara amnya, tahap gula dalam darah yang lebih tinggi daripada normal boleh berlaku disebabkan:
Anda tidak mengambil insulin atau tidak mengambilnya dalam dos yang betul.
Insulin telah tamat tempoh atau tidak disimpan dengan betul.
Tidak mengikut pelan makanan yang betul (seperti makan terlalu kerap/makan snek).
Terlalu banyak mengambil makanan berkarbohidrat/minuman manis.
Kurang senaman daripada biasa.
Mengalami jangkitan, penyakit atau haid.
Beremosi, seperti rasa terlalu seronok atau tertekan.
Kadangkala ia boleh berlaku seketika selepas senaman yang kuat (kesan stres).
Pengambilan ubat lain yang mempengaruhi cara ubat Kencing Manis anda berfungsi.
Mengikut pelan pengurusan Diabetes, anda perlu memeriksa tahap glukosa darah beberapa kali sehari menggunakan glukometer. Ini dapat membantu anda mengenal pasti bila anda mengalami kadar gula dalam darah tinggi. Kadangkala, ia tidak menunjukkan sebarang simptom. Mereka yang tidak memeriksa kadar gula dalam darah dengan kerap mungkin mengalami masalah kesihatan ini tanpa sedar.
Jika anda mendapati anda kerap mengalami masalah tahap gula darah yang tinggi, doktor atau jururawat mungkin akan mencadangkan anda untuk menukar dos insulin atau pelan pemakanan untuk menurunkan tahap gula dalam darah ke paras yg sihat.
Jika gula dalam darah anda melebihi 14 mmol/L (250 mg/dl), anda perlu mengambil tindakan segera.
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu anda ikuti.
Periksa tahap gula dalam darah anda dan ambil suntikan insulin bertindak pendek.
Hubungi doktor/jururawat anda untuk bertanya berapa banyak insulin tambahan yang anda perlukan atau jika anda tidak pasti apa yang perlu dilakukan.
Minum banyak air (sekurang-kurangnya 1 gelas air sejam).
Elakkan senaman berat.
Selepas 2 jam periksa tahap gula dalam darah anda.
Jika gula dalam darah anda masih melebihi 14 mmol/L (250 mg/dl), hubungi doktor dengan segera.
Jika gula darah anda melebihi 22 mmol/L (400mg/dl), ini merupakan tanda anda memerlukan rawatan dengan segera. Ambil insulin bertindak pendek (10% daripada jumlah dos harian) dan hubungi doktor/hospital secepat mungkin.
Kadar gula dalam yang darah tinggi merupakan satu masalah kesihatan yang berlaku apabila tahap gula dalam darah lebih tinggi daripada normal. Hiperglisemia dalam tempoh masa yang panjang boleh menyebabkan komplikasi serius yang berkait dengan Diabetes. Dalam kes yang serius, ia boleh mengancam nyawa.
Adalah penting bagi penghidap Diabetes Jenis 1 untuk mengelakkan masalah kesihatan ini. Ia boleh dilakukan dengan memantau pemakanan dan sentiasa memeriksa paras gula dalam darah untuk memastikan ia berada dalam julat yang normal. Selain itu, patuhi nasihat doktor kerana mereka tahu cara terbaik untuk menguruskan masalah Diabetes anda.