Maklumat T1D

ikon

Profesional Penjagaan Kesihatan

Tentang kita

Kencing Manis Jenis 1 dan komplikasinya pada kaki

Disunting: 17.03.2025

Anne-Charlotte Ficheroulle

Pharmacist, Digital Innovation Manager, A4D

1. Masalah kaki kencing manis

Paras gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan kerosakan serius kepada bahagian tubuh anda. Ia boleh menyebabkan masalah aliran darah dan jangkitan. Ini boleh membawa kepada hilangnya deria rasa pada kaki atau sebaliknya, seperti rasa kesemutan dan pedih seakan terbakar.

Jika tidak dirawat, masalah ini boleh menyebabkan kecederaan pada kaki yang lambat sembuh. Bukan itu sahaja, anda juga mungkin tidak sedar tentang lepuh atau kecederaan ini. Ini boleh membawa kepada terjadinya ulser dan jangkitan. Lebih buruk lagi, ia juga boleh menyebabkan amputasi (kaki terpaksa dipotong).

2. Mengesan tanda-tanda masalah kaki kencing manis

Anda digalakkan untuk memeriksa kaki setiap hari untuk mengesan tanda kencing manis pada kaki seperti berikut. Laporkan kepada doktor sekiranya:

  • Rasa kebas, sesemut atau seperti dicucuk pin dan jarum.

  • Sakit atau pedih

  • Sengal-sengal

  • Kulit kaki berkilat dan licin

  • Keguguran bulu kaki

  • Kehilangan deria pada kaki

  • Kaki bengkak

  • Kaki anda tidak berpeluh

  • Luka atau lepuh yang tidak sembuh.

  • Kekejangan pada betis apabila berehat atau berjalan.

Namun begitu, jika anda mengesan sebarang perubahan yang membimbangkan seperti berikut, sila hubungi doktor anda dengan segera:

  • Perubahan warna dan bentuk kaki anda.

  • Kaki sejuk atau panas.

  • Lepuh dan luka yang anda boleh lihat tetapi tidak rasai.

  • Bau busuk yang datang daripada luka terbuka.

Anda juga harus mendapatkan pemeriksaan kaki sekurang-kurangnya sekali setiap tahun untuk melihat sama ada terdapat sebarang perubahan pada saraf.

Apakah itu pemeriksaan kaki? Seorang profesional terlatih akan memeriksa kaki anda untuk mengesan sebarang kekejangan, aliran darah yang lemah, kun, kalus, masalah kuku dan lain-lain. Mereka akan membincangkan sama ada anda berisiko terhadap sebarang masalah kaki akibat Kencing Manis.

3. Tip mengurangkan risiko masalah kaki

  • Pastikan paras gula dalam darah anda dalam julat terkawal.

  • Pakai kasut yang selesa dan sesuai dengan kaki anda. Jika boleh, elakkan kasut yang ketat dan kasut tumit tinggi.

  • Pastikan kaki anda bersih dan kering untuk mengelakkan jangkitan.

  • Pastikan kuku kaki dipotong.

  • Jangan berkaki ayam di luar untuk mengelakkan luka dan melecet.

  • Cuba bersenam 30 minit setiap hari.

4. Diabetes Jenis 1 yang tidak terkawal boleh menyebabkan komplikasi serius

Tanpa penjagaan yang rapi, penghidap Kencing Manis Jenis 1 boleh berhadapan dengan komplikasi serius yang dikenali sebagai gangren. Keadaan ini boleh membawa maut. Gangren berlaku disebabkan aliran darah tidak sampai pada bahagian tisu tubuh tertentu dan menyebabkan kematian tisu pada bahagian tersebut.

Rawatan gangren adalah proses yang kompleks. Ia melibatkan pembuangan tisu mati atau tisu yang telah dijangkiti. Selain itu, doktor juga akan memberikan antibiotik untuk mengawal jangkitan. Bagi sesetengah kes, pembedahan mungkin perlu dilakukan untuk membaik pulih salur darah yang rosak.

Sekiranya gangren tidak dirawat dengan betul dan tepat pada masanya, ia boleh menyebabkan bahagian tubuh yang terjejas diamputasi (potong kaki kencing manis). Bagi kes yang lebih serius ia boleh menyebabkan sepsis.

Sepsis merupakan komplikasi yang berlaku apabila jangkitan telah merebak ke bahagian tubuh yang lain dan menyebabkan kesan yang serius. Jika tidak dirawat, sepsis boleh menyebabkan kematian. Pengurusan Diabetes yang betul boleh mengelakkan pelbagai bentuk komplikasi dan masalah kesihatan. Jadi, perkara ini perlu menjadi keutamaan bagi penghidap Kencing Manis.

Berikut adalah antara gejala yang anda perlu waspadai:

  • Demam yang tidak sembuh-sembuh

  • Perubahan pada kawasan kulit yang tidak beransur baik

  • Keluar cecair atau nanah daripada luka atau lepuh

  • Kulit berasa sejuk, keras dan/atau kejang.

  • Rasa sakit pada kawasan luka atau pembedahan.

Sekiranya anda mengalami simptom ini, sila rujuk doktor secepat mungkin agar anda boleh mendapatkan pemeriksaan.

5. Ingat!

Masyarakat biasanya mengaitkan Diabetes Jenis 1 dengan komplikasi seperti masalah jantung atau hipertensi. Namun, adalah penting untuk kita mengetahui bahawa masalah kaki juga berpotensi untuk menjadi komplikasi serius, terutamanya dalam kalangan penghidap Kencing Manis yang tidak mengawal masalah kesihatan mereka dengan baik.

Oleh sebab itu, penting untuk penghidap Diabetes mengamalkan pemakanan yang sihat, bersenam setiap hari dan mengikut nasihat doktor supaya mereka boleh mengawal kesan masalah kesihatan yang mereka hidapi.

Selain itu, pastikan anda sentiasa memerhatikan sebarang tanda Kencing Manis pada kaki supaya ia dapat ditangani sebelum ia menjadi lebih parah.

Ambil kuiz dengan komplikasi kaki sekarang!

ikon Penafian: