
Maklumat T1D
Profesional Penjagaan Kesihatan
Tentang kita
Kencing Manis Jenis 1 dan komplikasinya pada mata
Disunting: 17.03.2025
Individu dengan Diabetes Jenis 1 lebih berisiko untuk menghidap penyakit mata yang dikenali sebagai diabetik retinopati yang boleh menjejaskan penglihatan mereka.
Sekiranya paras gula dalam darah sentiasa tinggi dalam jangka masa panjang, ia boleh merosakkan saluran darah anda. Apabila ia menjejaskan saluran darah pada bahagian mata anda, ia mengganggu aliran darah ke kawasan retina (bahagian mata yang membolehkan kita melihat).
Apabila saluran darah tersebut rosak, ini bermakna retina tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi untuk berfungsi dengan baik. Ini menyebabkan anda tidak dapat melihat dengan jelas dan mungkin akan menjadi buta.
Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan kehilangan daya penglihatan, jika tanda-tandanya dikesan pada peringkat awal. Perkara yang paling penting ialah memastikan paras glukosa dalam darah berada pada julat yang telah disasarkan untuk mengelakkan komplikasi jangka panjang. Pemeriksaan mata tahunan boleh membantu doktor anda mengesan masalah mata lebih awal, sebelum ia menyebabkan kebutaan.
– Katarak, iaitu keadaan yang menyebabkan lensa mata menjadi tebal dan kabur. Ini menyebabkan penglihatan kabur dan sukar untuk melihat pada waktu malam.
– Glaukoma. Masalah ini berlaku apabila tekanan di dalam mata meningkat sehingga menjejaskan aliran darah ke retina dan saraf optik, menyebabkan kerosakan. Lama-kelamaan, jika tidak dirawat, glaukoma menyebabkan kehilangan daya penglihatan.
– Diabetik retinopati. Keadaan ini melibatkan perubahan pada retina akibat kerosakan atau masalah ketumbuhan di saluran darah kecil pada retina.
Masalah ini merupakan punca utama yang menyebabkan kehilangan keupayaan untuk melihat dalam kalangan penghidap Diabetes. Oleh itu, penghidap Diabetes perlu mengawal masalah kesihatan mereka dengan baik untuk mengelakkan komplikasi ini.
Diabetik retinopati berlaku secara perlahan-lahan dan lama kelamaan merosakkan mata penghidapnya. Jika tidak dirawat, ia akan menyebakan kebutaan penuh (complete blindness).
Rawatan bagi masalah ini pada peringkat awal melibatkan suntikan ubat ke dalam mata. Ini bertujuan untuk menghentikan keradangan yang menyebabkan ia berlaku. Namun, untuk komplikasi yang lebih serius seperti lekangan retina (retinal detechment), pembedahan mata mungkin perlu dilakukan.
Walaupun terdapat rawatan seperti yang dinyatakan, masalah ini tidak boleh dipulihkan sepenuhnya. Doktor membantu memulihkan sebahagian daripada keupayaan melihat penghidapnya, namun ia tidak akan sebaik dahulu.
Cara terbaik untuk mengesan masalah mata adalah melalui pemeriksaan doktor. Anda boleh mengalami kerosakan mata walaupun penglihatan masih belum terjejas. Ia tiada kaitan dengan keperluan penggunaan cermin mata.
Mengesan masalah mata lebih awal serta melakukan sesuatu apabila tahu tentangnya adalah penting bagi mengelakkan kebutaan. Oleh itu, penghidap Diabetes perlu melakukan saringan kesihatan mata pada setiap tahun. Pemeriksaan ini berbeza dengan ujian mata yang dilakukan oleh pakar optik ketika membuat cermin mata atau membeli kanta sentuh.
Apakah saringan kesihatan mata untuk penghidap Kencing Manis? Pakar mata akan mengambil gambar setiap mata untuk mengesan sebarang perubahan pada retina dan tanda-tanda retinopati.
Jika dikesan awal, terdapat rawatan yang boleh dilakukan untuk mengelakkan penghidapnya kehilangan daya penglihatan. Doktor boleh membincangkan perkara ini jika anda memberikan keputusan pemeriksaan mata tahunan anda.
Sentiasa periksa paras gula dalam darah.
Lakukan pemeriksaan mata setiap tahun.
Mengenal pasti perubahan pada penglihatan anda: penglihatan kabur (terutamanya pada waktu malam), nampak bentuk-bentuk terapung, sensitif terhadap cahaya.
Ikut garis panduan pemakanan sihat dan elakkan makanan yang mengandungi karbohidrat tidak baik seperti minuman manis, pencuci mulut dan makanan ringan, contohnya kerepek kentang.
Cuba bersenam 30 minit setiap hari.
Masalah penglihatan boleh mendatangkan kesan yang serius terhadap penghidap Kencing Manis. Jika tidak dikesan, Diabetes boleh menjejaskan keupayaan melihat penghidapnya, dan menyebabkan kebutaan.
Oleh sebab itu, penting untuk penghidap Kencing Manis menguruskan masalah kesihatan mereka dengan baik. Ini adalah cara terbaik untuk mengelakkan komplikasi. Selain itu, penghidap Diabetes juga berisiko terhadap masalah seperti tekanan darah tinggi (hipertensi), penyakit jantung, dan penyakit buah pinggang. Jadi mereka haruslah sentiasa berwaspada terhadap segalanya agar boleh kekal sihat.