
Maklumat T1D
Profesional Penjagaan Kesihatan
Tentang kita
Pengurusan hipoglisemia
Disunting: 17.03.2025
Tahap glukosa darah menandakan jumlah gula yang terkandung dalam darah. Apabila tahap gula terlalu rendah, keadaan ini dikenali sebagai hipoglisemia. Tahap gula dalam darah yang terlalu rendah boleh menyebabkan simptom serius yang perlu dirawat secepat mungkin.
Penghidap Diabetes Jenis 1 perlu pastikan paras gula dalam darah tidak terlalu tinggi atau rendah.
Tanda dan simptom gula dalam darah rendah berbeza bergantung kepada individu dan berapa cepatkah tahapnya menurun.
Antara tanda amaran gula dalam darah rendah ialah:
Berpeluh
Sangat lapar
Kadar dengupan jantung yang laju
Sukar untuk bercakap dengan jelas
Mudah marah
Pening
Keletihan
Penglihatan kabur
Menangis tanpa sebab
Menggigil
Kadar gula dalam darah rendah boleh menjadi sangat serius dan anda boleh pengsan atau mengalami serangan sawan.
Ingat: Simptom yang dialami kadangkala bukan disebabkan oleh kadar gula dalam darah rendah. Oleh sebab itu, pastikan anda uji dahulu tahap gula dalam darah. JANGAN SESEKALI MENEKA!
Sekiranya anda mengalami kadar gula dalam darah rendah pada waktu malam, anda mungkin akan menangis, mengalami mimpi ngeri atau berpeluh-peluh sehingga alas katil atau baju basah dengan peluh. Selain itu, anda mungkin akan tidak cukup tidur (akibat terjaga) atau sakit kepala.
Kadar gula dalam darah boleh menjadi rendah jika:
Anda tidak makan atau makan terlalu sedikit.
Bersenam dalam tempoh masa yang panjang tanpa makan terlebih dahulu.
Mengambil terlalu banyak insulin.
Masa pengambilan insulin tidak selaras dengan waktu makan, snek atau senaman.
Apabila berlaku pada waktu malam, ia dikenali sebagai hipoglisemia nokturnal.
Selepas beberapa jam bersenam, ia dikenali sebagai delayed postexercise hypoglycaemia (hypoglisemia lewat selepas senaman).
Selepas pengambilan alkohol, kadar gula dalam darah akan menjadi tidak stabil. Ia boleh menyebabkan gula darah jatuh secara tiba-tiba. Oleh sebab itu, penghidap Diabetes perlu fahami risiko pengambilan minuman keras dan dadah atau ubat-ubatan.
Selain itu, ada beberapa perkara yang boleh meningkatkan risiko kadar gula dalam darah rendah.
Antaranya:
Menyuntik insulin pada kawasan otot dan bukannya pada lapisan lemak bawah kulit.
Menyuntik insulin pada kawasan badan yang kerap digunakan dalam sukan tertentu (contohnya menyuntik insulin pada kawasan kaki sebelum latihan bola sepak).
Semua ini boleh meningkatkan risiko untuk mengalami paras gula dalam darah rendah.
Satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada anda mempunyai kadar gula rendah adalah dengan mengujinya. Walau bagaimanapun, sekiranya anda tidak boleh memeriksa kadar gula secepat mungkin, pastikan anda dapatkan rawatan segera untuk mengelakkan simptom daripada menjadi semakin teruk.
Sesetengah penghidap Diabetes tidak dapat mengesan tanda-tanda kadar gula dalam darah rendah. Bagi mereka, pemeriksaan berkala dan pencegahan lebih penting (sila lihat langkah-langkah pencegahan di bawah). Jika anda mempunyai masalah untuk menangani masalah kadar gula dalam darah rendah, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin.
Ambil tindakan segera sekiranya gula dalam darah anda di bawah 4.0 mmol/l (72mg/dL).
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu anda lakukan:
Ambil 1 sudu besar sirap atau minum setengah cawan minuman manis (contohnya jus buah atau minuman berkarbonat (bukan diet cola). Rehat selama 15 minit dan kemudian periksa gula darah.
Jika tahap gula dalam darah anda lebih tinggi daripada 4.0 mmol\/L (72mg\/dL), uji semula 20-30 minit kemudian untuk memastikan julat kadar gula dalam darah (>4.0 mmol\/L) dikekalkan.
Jika tahap gula dalam darah anda masih di bawah 4.0 mmol/l (72mg/dL), ambil sekali lagi 1 sudu besar sirap atau minum setengah cawan minuman manis (jus buah-buahan atau minuman berkarbonat (bukan diet), kemudian berehat selama 15 minit dan periksa tahap gula dalam darah anda.
Jika keadaan ini berlaku sebelum waktu makan (sebelum pengambilan insulin), ia harus dirawat terlebih dahulu apabila bacaan gula darah >4.0 mmol/L (>72mg/dL). Suntikan insulin harus diambil seperti biasa. JANGAN ABAIKAN PENGAMBILAN INSULIN, terutamanya jika anda mengalami hipoglisemia awal pagi.
Sekiranya penghidap Diabetes diserang sawan atau pengsan, jangan paksa mereka makan kerana ia boleh menyebabkan mereka tercekik atau makanan termasuk ke dalam saluran pernafasan dan menyebabkan pneumonia. Pergi ke hospital secepat mungkin kerana ini merupakan satu kecemasan.
Bagi penghidap Diabetes Jenis 1, hipoglisemia atau paras gula dalam darah yang rendah adalah keadaan yang serius. Oleh sebab itu, penghidap Kencing Manis perlu tahu simptom dan apa yang boleh dilakukan apabila ia terjadi, serta bagaimana mereka boleh mengelakkannya daripada berlaku.