Maklumat T1D

ikon

Profesional Penjagaan Kesihatan

Tentang kita

Apakah insulin dan jenis-jenisnya?

Disunting: 23.04.2025

Anne-Charlotte Ficheroulle

Pharmacist, Digital Innovation Manager, A4D

1. Apakah itu insulin?

Insulin merupakan sejenis hormon yang dapat menurunkan tahap glukosa (gula) dalam darah. Organ pankreas dalam kalangan penghidap Diabetes Jenis 1 hanya dapat menghasilkan insulin dalam kuantiti yang sedikit atau tidak boleh menghasilkannya langsung. Semua penghidap Kencing Manis Jenis 1 memerlukan insulin. Selalunya, insulin diambil dengan cara suntikan di bawah kulit.

Matlamat rawatan adalah untuk memastikan jumlah insulin yang diperlukan sama dengan jumlah insulin yang diambil sepanjang hari. Oleh sebab itu, tahap kadar gula dalam darah perlulah dalam julat yang normal untuk mengelakkan individu tersebut mengalami kesan jangka masa pendek dan panjang daripada Diabetes. Individu yang baru pertama kali mengambil insulin mungkin perlukan masa untuk mengenal pasti dos yang sesuai. Penghidap Kencing Manis Jenis 1 perlu tahu apa itu insulin dan cara untuk memeriksa kadar gula dalam darah. Doktor akan menggunakan maklumat ini untuk membantu menyelaraskan dos insulin dari semasa ke semasa.

Jenis insulin dan jumlah yang perlu diambil setiap hari bergantung kepada pelan pengurusan Kencing Manis anda. Ada penghidap Diabetes yang perlu mengambil suntikan 2 kali sehari. Ada juga yang perlukan lebih banyak suntikan untuk pastikan kadar gula dalam darah terkawal. Pakar dapat membantu anda memahami apa itu insulin dan menentukan apa yang terbaik untuk anda.

2. Apa itu insulin: Jenis-jenisnya

Tindakan pendek
Insulin tindakan pendek membantu mengawal lonjakan gula darah yang berlaku apabila anda makan. Insulin jenis ini menunjukkan kesan pantas, namun hanya berkesan dalam jangka masa yang singkat. Masa paling tepat untuk suntikan insulin tindakan pendek bergantung pada masa makan anda. Ia biasanya diambil antara 30 minit atau sebelum makan, bergantung pada jenis insulin yang anda gunakan.

Tindakan panjang
Insulin tindakan panjang berfungsi dengan perlahan dan kesannya boleh bertahan selama hampir satu hari. Ia dapat mengawal tahap gula dalam darah antara waktu makan dan memastikannya stabil dari pagi hingga ke malam. Selalunya, insulin jenis ini diambil sebelum tidur. Masa suntikan yang tepat bergantung pada jenis insulin. Sekiranya anda mempunyai persoalan, berbincanglah dengan doktor mengenai perkara ini.

Tindakan sederhana

Insulin tindakan sederhana mengambil masa 1 hingga 3 jam untuk menunjukkan kesan. Masa optimum untuk insulin jenis ini ialah 8 jam, namun ia dapat menstabilkan kadar gula dalam darah dari 12 hingga 16 jam.

3. Kepentingan masa pengambilan insulin

Anda tidak boleh ‘menghentikan’ kesan insulin selepas suntikan. Kesannya akan tetap berlaku selepas pengambilan. Oleh itu, anda perlulah mengambil insulin dalam jumlah yang betul pada masa yang tepat. Sebagai contoh, sekiranya anda perlu menangguhkan masa makan, anda mungkin perlu mengambil insulin lebih lewat daripada biasa atau makan snek ringan sebelum mengambil suntikan seterusnya.

Selain pengambilan ubat, pemakanan yang teratur dan senaman yang kerap dapat membantu menstabilkan kadar gula dalam darah. Ia juga memudahkan anda mengenal pasti jumlah insulin yang diperlukan. Sekiranya anda tidak pasti jumlah insulin yang perlu diambil, rujuk pakar secepat mungkin.

Walaupun anda sudah melakukan apa yang terdaya, kadang kala paras gula dalam darah mungkin sukar untuk dikawal. Bagi penghidap Kencing Manis, ada masanya anda akan mengambil terlalu banyak atau terlalu sedikit dos insulin untuk keperluan badan dan tahap gula dalam darah akan menjadi terlalu tinggi atau rendah.

Antara masalah umum yang sering dialami oleh penghidap Diabetes ialah kadar gula dalam darah rendah atau hipoglisemia. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa, tetapi kemungkinannya lebih tinggi sekiranya anda kurang makan atau bersenam lebih banyak daripada biasa. Hipoglisemia juga boleh berlaku dalam minggu atau bulan pertama setelah disahkan menghidap Kencing Manis Jenis 1.

Jika sering mengalami bacaan gula dalam darah terlalu rendah, dos insulin atau pelan pemakanan mungkin perlu dilaraskan. Sekiranya ini berlaku, hubungi doktor secepat mungkin. Mereka dapat menerangkan apa itu insulin dan membantu merancang untuk mengekalkan tahap gula dalam darah anda dalam julat yang normal.

4. Ingat!

Bagi penghidap Diabetes, pengambilan insulin dapat menyelamatkan nyawa. Penghidap Kencing Manis bukan sahaja perlu tahu apa itu insulin dan bila untuk mengambilnya, namun anda juga perlu faham apakah jenis-jenis insulin yang boleh diambil untuk pastikan badan sentiasa sihat dan untuk mengelakkan sebarang kesan sampingan daripada Diabetes.

Ambil kuiz mengenai Insulin sekarang!

ikon Penafian: