
Maklumat T1D
Profesional Penjagaan Kesihatan
Tentang kita
Saya Takut Anak Saya Menghidap Diabetes Jenis 1
Disunting: 17.03.2025
Setiap ibu bapa semestinya mengutamakan kesihatan anak mereka.
Kebanyakan ibu bapa pasti akan mencari tanda-tanda jika ada sesuatu yang tidak kena dengan anak mereka.
Diabetes Jenis 1 adalah keadaan kesihatan seumur hidup yang boleh membuat ibu bapa berasa bimbang.
Apabila kanak-kanak diberitahu dia menghidap Diabetes Juvana, ia boleh menjadi perkara yang amat membimbangkan untuk ibu bapa mereka.
Mari kita fahami perkara ini bersama-sama dan mengetahui tentang Diabetes Jenis 1 atau Diabetes Kanak-kanak dan cara menanganinya.
Jangan risau! Anak anda PASTI boleh berjaya dalam hidup walaupun menghidap Diabetes Jenis 1.
Diabetes Jenis 1, juga dipanggil Diabetes Juvana (Kanak-kanak) atau Diabetes yang bergantung kepada insulin, biasanya bermula pada peringkat bayi, kanak-kanak dan remaja.
Tetapi simptom Diabetes Jenis 1 biasanya tidak muncul sehingga kanak-kanak berumur sekurang-kurangnya lima tahun.
Orang sering berfikir bahawa makan terlalu banyak gula menyebabkan Diabetes Kanak-kanak. Tetapi diet seseorang bukanlah penyebab Diabetes Jenis 1.
Diabetes Jenis 1 adalah keadaan seumur hidup di mana sel beta dalam pankreas dimusnahkan oleh sistem imun, jadi badan tidak boleh membuat insulin.
Kekurangan insulin menyebabkan paras glukosa darah meningkat. Tahap glukosa darah tinggi jangka panjang boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.
Tahap glukosa darah yang tinggi (atau hiperglisemia) boleh menyebabkan seseorang lebih cenderung untuk mendapat penyakit jantung, strok, penyakit buah pinggang, penyakit mata atau kerosakan saraf.
Bayi dan anak kecil sering minum banyak. Tetapi jika anak anda tiba-tiba kehilangan berat badan yang banyak atau kelihatan lebih letih atau dahaga berbanding biasa, ini boleh menjadi tanda diabetes pada anak.
Kanak-kanak kecil yang menghidap Diabetes Jenis 1 selalunya tidak sedar apa yang tidak kena dengan diri kerana mereka tidak dapat menjelaskan perasaan mereka.
Berikut ialah tanda-tanda awal ""4T"" yang boleh membantu ibu bapa mengetahui sama ada anak mereka menghidap Diabetes Jenis 1:
T1. TANDAS (Toilet). Ini bermakna anak lebih kerap membuang air kecil. Lampin bayi dan kanak-kanak mungkin lebih basah daripada biasa atau mereka lebih kerap terkencing atas katil.
T2. DAHAGA (Thristy). Rasa dahaga yang melampau yang berlarutan lama dan anak terjaga beberapa kali pada waktu malam untuk minum air boleh menjadi tanda diabetes pada anak yang berbahaya.
T3. PENAT (Tired). Apabila tiada insulin untuk menukar glukosa yang kita dapat daripada makanan kepada tenaga, ini membawa kepada tahap glukosa darah tinggi. Dengan glukosa darah tinggi, sel-sel badan tidak boleh menggunakan glukosa sebagai tenaga. Ini membuatkan kanak-kanak berasa letih dan lemah.
T4. KURUS (Thin). Apabila tiada insulin dan badan tidak dapat menggunakan glukosa dengan betul, badan mencipta tenaga dengan membakar lemak dan otot dengan cepat, mengakibatkan ketoasidosis dan penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan.
Jika seseorang yang menghidap Diabetes Kanak-kanak kehilangan lebih daripada 5% berat badan mereka dalam masa kurang daripada 6 bulan tanpa sebab yang jelas, sila dapatkan pemeriksaan doktor segera.
A. KERAP LAPAR. Walaupun kanak-kanak yang menghidap Diabetes Juvana makan lebih banyak, namun mereka mungkin masih berasa lapar kerana makanan yang dimakan tidak memberikan badan mereka tenaga yang diperlukan.
B. PENGLIHATAN KABUR. Tahap glukosa darah yang tinggi boleh menjejaskan mata, menjadikan kanak-kanak yang menghidap Diabetes Jenis 1 lebih sukar untuk melihat dengan jelas.
C. NAFAS BERBAU BUAH. Jika nafas anak anda berbau buah atau manis, ia boleh menjadi tanda ketoasidosis diabetik, komplikasi berbahaya Diabetes Jenis 1.
D. JANGKITAN YIS. Kanak-kanak perempuan yang menghidap Diabetes Jenis 1 mungkin mengalami jangkitan yis lebih kerap.
Perlu diingat bahawa Diabetes Kanak-kanak boleh diurus dengan gabungan pengetahuan, ketekunan, kesabaran dan sikap yang betul oleh ibu bapa.
Dengan pelan rawatan yang betul, sokongan sosial yang kuat, dan pelarasan gaya hidup, anak anda yang menghidap Diabetes Jenis 1 berpeluang cerah untuk menikmati kehidupan yang bahagia dan berpanjangan.
Untuk mengelakkan masalah dan memastikan anak anda cergas, anda perlu memahami Diabetes Kanak-kanak sejak awal dan merawatnya dengan cara yang betul.
Jika anak anda menunjukkan satu atau lebih tanda diabetes pada anak seperti di atas, jangan risau. Lakukan perkara seterusnya:
A. RUJUK DOKTOR. Jumpa pakar pediatrik atau doktor keluarga anak anda. Mereka boleh menguji paras glukosa darah dan hemoglobin A1c. Ujian ini boleh mendiagnosis Diabetes Jenis 1 dan menyediakan pelan rawatan.
B. PANTAU PARAS GLUKOSA DALAM DARAH. Pakar endokrinologi pediatrik boleh dirujuk jika paras glukosa darah anak anda tinggi. Pemeriksaan glukosa darah yang kerap membantu dalam merawat Diabetes Jenis 1.
C. MENDIDIK DIRI. Lebih banyak anda mengetahui tentang Diabetes Jenis 1 (cara insulin berfungsi, kepentingan senaman dan diet seimbang), lebih cepat anda boleh menguruskan tahap glukosa darah anak anda.
D. CARI KUMPULAN SOKONGAN. Mengenali keluarga lain yang mengalami perkara yang sama seperti keluarga anda melalui laman web dalam talian dan kumpulan media sosial, boleh membantu keluarga anda berasa kurang bersendirian dan berkongsi tips penjagaan.
Apabila kanak-kanak didiagnosis menghidap Diabetes Juvana, ia boleh menjadi keadaan yang sukar untuk kedua-dua; kanak-kanak dan ibu bapa. Kesedihan, kemarahan, dan ketakutan adalah semua emosi tipikal untuk dialami.
Normal untuk ibu bapa berasa bimbang tentang kesihatan anak, tetapi jika anda mengetahui tanda-tanda Diabetes Kanak-kanak dan bertindak dengan cepat, anda boleh membuat perubahan yang besar.
Jadi, adalah penting berbincang dengan doktor untuk mendapatkan diagnosis dan pelan rawatan yang jelas. Ini boleh menjadi perbezaan yang positif untuk seisi keluarga untuk membantu kanak-kanak menangani Diabetes Jenis 1 dan memenuhi keperluan emosi, mental dan fizikal mereka.
Terus berhubung dengan pasukan penjagaan kesihatan anda dan pelajari seberapa banyak yang anda boleh tahu tentang Diabetes Jenis 1.
Ingat bahawa Diabetes Jenis 1 anak anda hanyalah sebahagian daripada perjalanan unik mereka, dan dengan bantuan anda, mereka boleh melakukannya dengan SANGAT BAIK.
Laman web HelloType1, kumpulan Facebook dan video pendidikan YouTube adalah tempat yang baik untuk anda belajar tentang Diabetes Jenis 1. Ini akan membantu mendidik dan memperkasakan penglibatan keluarga anda. Justeru, jangan ragu untuk terus berhubung.