Maklumat T1D
Profesional Penjagaan Kesihatan
Tentang kita
Kisah Felicity: Memahami Diabetes Jenis 1 untuk Menguruskan Diabetes Jenis 1
Disunting: 06.05.2026
Felicity Young telah disahkan menghidap Diabetes Jenis 1 (T1D) pada usia 17 tahun semasa dia sedang membuat persiapan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebuah peperiksaan kebangsaan yang setara dengan GCE O-Levels. Ia merupakan masa yang mencabar kerana sementara dia mengulangkaji untuk SPM, dia juga bergelut dengan gejala T1D—kehausan yang melampau, kerap membuang air kecil, penurunan berat badan, dan rasa lapar yang berterusan. Walaupun makan dalam kuantiti yang banyak untuk memenuhi rasa laparnya, Felicity terus kehilangan berat badan dan mengalami rasa mual serta muntah. Bertekad untuk mengutamakan pendidikannya, dia tetap berusaha mengatasi gejalanya dan fokus kepada peperiksaannya. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja selesai menjawab kertas peperiksaan SPM, dia menghadapi kesesakan nafas dan segera dibawa ke hospital, di mana dia menghabiskan tujuh hari di ICU untuk merawat ketoasidosis diabetik (DKA) dan disahkan menghidap T1D.
Sebelas tahun yang lalu, ketika Felicity pertama kali didiagnosis, kesedaran dan pemahaman tentang T1D sangat terhad. Ibu bapanya berasa risau dan menasihatinya untuk mengawal pemakanan dengan berhenti memakan gula dan karbohidrat dengan sepenuhnya. Sekatan diet yang ketat ini menjadikan perjalanannya lebih sukar kerana dia tidak lagi dapat menikmati makanan kegemarannya. Felicity juga berasa terasing kerana tidak mengenali sesiapa yang turut menghidap T1D. Dalam usaha mencari jawapan, Felicity beralih kepada internet dan media sosial. Perspektifnya berubah apabila dia menghadiri bengkel T1D, di mana dia bertemu dengan individu lain yang turut hidup dengan keadaan tersebut. Melalui pengalaman ini, dia mempelajari strategi berharga untuk menguruskan T1D dan menemui komuniti sokongan.
Diagnosis Felicity telah memberi inspirasi kepadanya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Dietetik, yang membolehkannya memahami bagaimana makanan mempengaruhi paras glukosa darah. Lama-kelamaan, dia berjaya membangunkan pemahaman yang lebih mendalam tentang bagaimana gaya hidup dan diet mempengaruhi keadaannya. Hari ini, dia menguruskan T1D dengan berkesan melalui pemakanan sihat, pengiraan karbohidrat, dan menjalani gaya hidup yang aktif. Dia mengaitkan kemajuan ini dengan ketekunannya, pengetahuan yang diperoleh daripada pengajiannya, dan perbincangan berterusan dengan doktor-doktornya.
Felicity menggalakkan individu lain yang hidup dengan T1D untuk kekal sabar dan bertabah hati, kerana ia mengambil masa untuk mencapai keyakinan dan kawalan. Dia sekarang berasa bangga dengan fleksibiliti yang berjaya dicapainya, yang membolehkannya menjalani kehidupan mengikut kehendaknya sambil kekal sihat dan aktif. Dia berkongsi, "Janji saya kepada diri sendiri adalah untuk sentiasa menjaga tubuh saya. Menjaga diri anda sendiri harus sentiasa menjadi keutamaan."