Maklumat T1D
Profesional Penjagaan Kesihatan
Tentang kita
Penjagaan Mulut untuk Penghidap Diabetes Jenis 1
Disunting: 06.05.2026
Hidup kita bergerak pantas. Sama ada anda seorang pelajar, ibu bapa, golongan profesional yang sibuk, atau penjaga—ditambah pula dengan cabaran untuk menguruskan Diabetes Jenis 1 (T1D)—penjagaan gigi sering dipandang enteng.
Namun hakikatnya, kesihatan mulut memainkan peranan yang amat penting. Masalah pergigian bukan sahaja menyebabkan penyakit dan jangkitan, malah ia boleh menyukarkan kawalan paras gula di dalam darah. Amalan memberus gigi, menggunakan flos dan berjumpa doktor gigi secara berkala bukan sekadar tabiat yang baik, malah ia antara yang perlu diusahakan untuk mengekalkan kesihatan bagi penghidap T1D.
Mulut dan paras gula darah anda sebenarnya jauh lebih berkait rapat daripada yang disangka. Gusi yang sihat membantu mengekalkan paras gula di dalam darah dengan lebih stabil. Namun, jika gusi anda bengkak, sakit atau mudah berdarah, itu mungkin tanda penyakit gusi yang boleh menyukarkan kawalan diabetes.
Penghidap T1D lebih berisiko mendapat penyakit gusi kerana paras gula yang tinggi di dalam darah boleh melemahkan sistem imun dan melambatkan proses penyembuhan. Kajian menunjukkan penyakit gusi yang teruk, dikenali sebagai periodontitis, boleh menyebabkan keradangan di seluruh tubuh (Pussinen dan Salomaa, 2018). Keadaan ini meningkatkan risiko masalah pada jantung, buah pinggang dan organ lain. Apabila diabetes tidak terkawal, tubuh menjadi sukar untuk melawan jangkitan apatah lagi untuk pulih daripada luka. Masalah ini akhirnya akan menambah buruk lagi masalah gusi.
Penghidap T1D sering mengalami paras gula yang rendah di dalam darah pada waktu malam, dikenali sebagai hipoglisemia. Untuk mengatasinya dengan cepat, mereka biasanya mengambil makanan atau minuman bergula seperti gula-gula atau jus. Namun, selepas itu, penjagaan mulut sering kali dilupakan.
Apabila tahap pH di dalam mulut (yang menunjukkan tahap keasidan atau kealkalian) tidak kembali normal selepas mengambil makanan manis atau berasid bagi mengelakkan hipoglisemia, lapisan enamel gigi boleh terjejas. Gula menjadi sumber makanan bagi bakteria di dalam mulut, yang kemudiannya menghasilkan asid yang melemahkan enamel. Lama-kelamaan, keadaan ini boleh menyebabkan gigi berlubang, penyakit gusi dan masalah pergigian yang lain.
Mari kita belajar daripada pengalaman Jyotsana Rangeen, yang telah hidup dengan T1D selama sembilan tahun:
“Paras gula yang rendah di tengah malam merupakan antara cabaran tersembunyi T1D — terutamanya apabila dalam keadaan separuh lena, tangan mencapai jus atau gula-gula. Saya perasan gula memberikan kesan pada kesihatan gigi jika saya tidak memberusnya selepas itu.
Tanda-tanda awal haus enamel mula kelihatan, jadi saya belajar untuk lebih peka akan rutin penjagaan gigi pada waktu malam. Kini, saya sentiasa letakkan berus gigi lembut dan ubat kumur berfluorida di sisi katil. Tabiat kecil ini memberikan kesan yang besar. Senyuman yang yakin membantu saya berasa senang hati walaupun dalam kekalutan T1D. Saya bersyukur atas setiap pengajaran yang datang seiring dengan perjalanan ini pada setiap hari.”
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO, 2017) dan Kajian Beban Penyakit Global 2015, kerosakan gigi merupakan antara masalah kesihatan yang paling lazim di dunia. Ia berlaku apabila pengambilan gula berlebihan tidak diimbangi dengan penjagaan gigi yang baik. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan penyakit, jangkitan, kesukaran makan atau tidur, bahkan menjejaskan tumbesaran dan kesihatan tubuh. Di kawasan yang sukar mendapatkan rawatan, ramai orang terpaksa mencabut gigi disebabkan kekurangan perkhidmatan pergigian yang mereka mampu bayar.
Dr. Dominika Antoniszczak, doktor gigi dari Poland yang telah hidup dengan T1D selama tujuh tahun, pernah bertanya dalam kajiannya, “Agak-agaknya, adakah saya memberus gigi selepas saya alami hipoglisemia pada pukul 3 pagi?” Kajian beliau menyoroti cabaran sebenar yang dihadapi penghidap T1D dalam menjaga kesihatan mulut.
Berikut ialah pandangan mereka yang hidup lama dengan T1D (D. M. V. Antoniszczak et al., 2022):
Lelaki, T1D selama 19 tahun: “Saya terkena penyakit gusi pada usia 29 tahun. Kawalan gula di dalam darah yang lemah semasa remaja membuatkan masalah bertambah teruk. Kini, ia menjejaskan kesihatan mental saya.”
Wanita, T1D selama 25 tahun: “Saya elak jus buah kerana ia berasid dan boleh merosakkan gigi, tapi itulah penyelamat terbaik apabila gula di dalam darah rendah.”
Lelaki, T1D selama 40 tahun: “Sebelum memakai alat pemantauan glukosa selanjar (CGM), saya kerap alami hipoglisemia pada waktu malam dan lebih banyak masalah gigi. Namun, sejak ada CGM, jarang berlaku hipoglisemia pada waktu malam, dan kesihatan gigi saya semakin baik.”
Berikut ialah tip daripada Dr. Dominika untuk mengurus hipoglisemia pada waktu malam, khusus bagi mereka yang mengalami kesukaran menjaga mulut selepas mengalami hipoglisemia:
Selepas mengalami hipoglisemia pada waktu malam, biasakan berkumur dengan air atau ubat kumur sebelum tidur semula.
Gunakan ubat gigi berfluorida (dapatkan nasihat doktor gigi tentang tahap fluorida yang sesuai) dan flos gigi secara berkala.
Jumpa pakar periodontik, iaitu doktor gigi yang pakar tentang penyakit gusi, untuk rawatan yang sewajarnya.
Paras gula di dalam darah perlu dijaga dalam lingkungan 70–180 mg/dL (3.9–10 mmol/L) sekurang-kurangnya 70% daripada 24 jam sehari (kira-kira 16 jam) untuk memastikan kesihatan gigi dan tubuh secara menyeluruh. Walaupun begitu, bincanglah dengan pasukan penjagaan diabetes anda, kerana sasaran setiap individu berbeza-beza.
Cari ‘pasukan senyuman’ anda! Berjumpa dengan doktor gigi setiap enam bulan, atau lebih kerap jika perlu. Pemeriksaan berkala membolehkan masalah dikesan awal dan membantu mencegah kerosakan gigi serta penyakit gusi.
Berita baiknya, tabiat kecil setiap hari mampu membawa perubahan yang besar. Amalan memberus gigi, menggunakan flos dan mendapatkan rawatan pakar periodontik bukan saja melindungi kesihatan mulut, malah meningkatkan kualiti hidup secara menyeluruh – khususnya bagi anda yang hidup dengan T1D.
Mahukan panduan? Anda boleh rujuk panduan di sini how to prepare for your dental appointment tentang cara bersedia untuk janji temu dengan doktor gigi (D. Antoniszczak & Periodontitis-Diabetes Hub, n.d.).
Ingatlah: Langkah kecil, kesan besar. Dengan kesedaran dan amalan yang konsisten, anda bukan sahaja mengekalkan senyuman yang ceria, malah memastikan kesihatan sentiasa terjaga untuk kebaikan pada jangka panjang.